6 rakyat Palestin dilapor maut dalam serangan Israel di Gaza

Enam rakyat Palestin, termasuk timbalan menteri pendidikan dan pengajian tinggi dalam kerajaan pimpinan Hamas, maut dalam serangan Israel di Jalur Gaza pada awal Khamis, lapor berita Xinhua memetik sumber tempatan dan perubatan Palestin.

Sumber tempatan berkata, sebuah dron Israel melancarkan peluru berpandu ke sebuah pangsapuri di bandar Deir al-Balah, di tengah Jalur Gaza, mengakibatkan bangunan itu terbakar dan rosak teruk.

Dalam satu kenyataan ringkas, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) berkata, pasukan mereka telah membawa mayat dua mangsa serta tiga orang yang cedera ke Hospital Al-Aqsa di Deir al-Balah.

Mangsa dikenal pasti sebagai Khaled Abu Nada, 56, yang berkhidmat sebagai timbalan menteri pendidikan dan pengajian tinggi di Gaza, serta isterinya, Abeer Abu Nada, lapor Xinhua memetik sumber tempatan.

Menurut Xinhua, tentera Israel mengesahkan serangan terbabit dalam satu kenyataan, mendakwa bahawa Abu Nada juga “berkhidmat sebagai ketua Jabatan Ekonomi dalam Biro Politik Hamas” dan “menyalurkan dana untuk aktiviti pengganas serta pengukuhan kekuatan Hamas”.

Dalam kejadian berasingan, PRCS berkata, pasukan mereka telah membawa mayat tiga mangsa dan seorang individu yang cedera ke Kompleks Perubatan Al-Shifa, susulan serangan dron Israel yang menyasarkan perkumpulan rakyat Palestin di kem pelarian Al-Shati, di barat bandar Gaza, pada awal Khamis, lapor Xinhua, tentera Israel masih belum memberikan ulasan mengenai kejadian itu.

Selain itu, sumber perubatan Palestin melaporkan Walid Abu Saeed, 62, maut akibat tembakan Israel di sebelah timur kem pelarian Al-Bureij, di tengah Jalur Gaza.

Menurut angka terkini daripada pihak berkuasa kesihatan di Gaza, tentera Israel telah melakukan kira-kira 6,410 pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata, yang berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025, menyebabkan lebih 1,600 kematian.