Israel dakwa ia bunuh ketua keselamatan Hamas Gaza Utara

Serangan udara Israel ke atas sebuah kediaman keluarga di bandar Gaza mengorbankan Muhammad Abu al-Aouf, ketua keselamatan dalaman Hamas bagi Gaza Utara, isterinya dan dua anak perempuan mereka pada awal Rabu, menurut kenyataan pegawai Israel dan Gaza — berita Xinhua melaporkan.

Serangan itu menghentam apartmen keluarga terbabit di kem pelarian Shati, di bahagian barat bandar Gaza, lapor Xinhua memetik Kementerian Dalam Negeri Gaza.

Menurut Xinhua, agensi berita Palestin, WAFA, memetik sumber perubatan di Hospital Al-Shifa, berkata bahawa kedua-dua anak perempuan itu masing-masing berusia 13 dan 15 tahun, dan hospital terbabit turut menerima mangsa lain yang cedera dalam serangan itu.

Berita Xinhua mengatakan, tentera Israel dan agensi keselamatan Shin Bet dalam satu kenyataan bersama, berkata mereka menyasarkan Abu al-Aouf, menuduhnya terlibat merancang serangan terhadap tentera serta orang awam Israel dalam pelanggaran gencatan senjata.

Tentera Israel dan Shin Bet dilapor berkata, “Abu al-Aouf merupakan tokoh penting” dalam Hamas, yang berperanan sebagai “sumber kepakaran utama dalam usaha menyekat operasi antikeganasan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di Jalur Gaza.”

Serangan itu berlaku sehari selepas Israel membunuh komander kepada Abu al-Aouf, iaitu Naim Abu Nahal, yang mengetuai perkhidmatan keselamatan dalaman Hamas bagi Jalur Gaza, menurut Xinhua.