Berita

  • Tentera Thai mengeluarkan amaran selepas berbilang serangan di selatan Thailand

    Wilayah Tentera Keempat Thailand menasihati orang ramai untuk terus berwaspada susulan berlakunya berbilang insiden keganasan di wilayah sempadan selatannya, menurut berita Xinhua.

    Xinhua memetik laporan media Thailand, insiden keganasan berturut-turut, seperti pembakaran dan letupan, berlaku di wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani bermula dari jam 8 malam waktu tempatan pada petang Sabtu.

    Serangan terbabit termasuk membakar pejabat pentadbiran, membakar tayar kereta, dan meletupkan tiang elektrik dan kedai serbaneka, lapor Xinhua, sekurang-kurangnya 11 insiden berlaku di wilayah Narathiwat, manakala satu letupan kereta menyebabkan dua cedera.

    Pasukan Petugas Narathiwat mengumumkan dalam catatan Facebook bahawa seluruh wilayah akan dikenakan perintah berkurung dari jam 10:15 malam Sabtu hingga 6 pagi Ahad, dengan menyatakan bahawa penduduk mesti mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tentera, polis atau pentadbiran tempatan sebelum pergi sekiranya berlaku perkara penting, menurut berita Xinhua.

  • 2 dilapor terbunuh, 7 cedera dalam serangan dron di Crimea dan Donetsk

    Dua orang terbunuh dan empat lagi cedera dalam serangan Ukraine di Crimea, kata ketua wilayah Crimea, Sergey Aksyonov, pada Khamis, menurut berita Xinhua.

    Secara berasingan, tiga orang awam di wilayah Donetsk cedera dalam serangan dron Ukraine, lapor Xinhua memetik ketua wilayah Denis Pushilin, sambil menambah bahawa tiga bangunan kediaman, enam kemudahan infrastruktur awam, dua trak dan tiga kereta mengalami kerosakan.

  • Gempa bumi berukuran 7.2 magnitud menggegarkan selatan Peru

    Gempa bumi berukuran 7.2 magnitud menggegarkan wilayah selatan Peru, Ayacucho, pada petang Khamis, tanpa laporan segera mengenai korban atau kerosakan, kata pihak berkuasa, lapor Xinhua.

    Xinhua melaporkan, menurut Institut Geofizik Peru, gempa itu berlaku pada jam 1 petang waktu tempatan. Pusat gempa adalah 35 km di utara Coracora, di wilayah Parinacochas, pada kedalaman 108 km.

    Institut itu dilapor berkata, gempa itu mempunyai intensiti III-IV di Coracora.

    Menurut Xinhua, Pusat Operasi Kecemasan Kebangsaan Peru berkata gegaran itu dirasai sederhana hingga kuat di beberapa jabatan, dan pihak berkuasa sedang memantau kawasan yang terdedah.

    Peru terletak di Lingkaran Api Pasifik, di mana kira-kira 85 peratus aktiviti seismik dunia direkodkan.

  • Gempa bumi berukuran 6.5 magnitud landa tengah Peru

    Gempa bumi berukuran 6.5 magnitud menggegarkan tengah Peru pada jam 1800 GMT Khamis, kata Pusat Penyelidikan Geosains Jerman GFZ, menurut berita Xinhua.

    Pusat gempa, dengan kedalaman 10 km, pada mulanya ditentukan berada pada 14.74 darjah latitud selatan dan 73.89 darjah longitud barat.

  • 13 terbunuh dalam tanah runtuh lombong Colombia

    Tanah runtuh di lombong terbuka di Policarpa, di jabatan selatan Colomboa, Narino, mengorbankan 13 pekerja dan mencederakan tujuh orang, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan pada Khamis.

  • Houthi dilapor dakwa serangan dron ke atas lapangan terbang dan kemudahan minyak di selatan Arab Saudi

    Kumpulan Houthi Yaman berkata pada Khamis bahawa ia menjalankan dua serangan dron yang menyasarkan sebuah lapangan terbang dan sebuah kemudahan minyak di wilayah selatan Arab Saudi, Najran, lapor berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea dalam satu kenyataan di X berkata, kumpulan itu melancarkan dua serangan dron, satu melanda “sasaran sensitif” di lapangan terbang Najran dan satu lagi melanda kemudahan milik gergasi minyak negara Saudi, Aramco.

    Sarea mendakwa kedua-dua serangan “mencapai objektif mereka” tanpa memberikan butiran lanjut mengenai kemungkinan korban atau kerosakan, lapor Xinhua.

    Menurut Xinhua, serangan itu dilakukan sebagai tindak balas kepada apa yang digambarkan oleh kumpulan itu sebagai pencerobohan dron Saudi ke ruang udara di wilayah utara Yaman, Saada, sebuah kubu kuat Houthi yang bersempadan dengan Arab Saudi.

    Dakwaan terbaru itu muncul di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat antara Houthi dan Arab Saudi, menurut Xinhua.

  • Pengangguran di Slovakia meningkat kepada 4.07 peratus pada Julai

    Kadar pengangguran di Slovakia berada pada 4.07 peratus pada akhir Julai, meningkat sebanyak 0.1 peratus bulan ke bulan, menurut berita Xinhua memetik laporan Pusat Buruh, Hal Ehwal Sosial dan Keluarga Slovakia (UPSVaR) pada Khamis.

    Bilangan pencari kerja usia bekerja yang berdaftar dengan pejabat buruh, hal ehwal sosial dan keluarga mencapai 146,346 pada akhir Julai, peningkatan sebanyak 3,478 berbanding Jun.

    Bilangan lepasan sekolah yang mendaftar dengan pejabat buruh meningkat seperti biasa. Kemasukan graduan berterusan pada Julai, apabila 3,946 lepasan sekolah menengah dan 5,689 graduan universiti didaftarkan sebagai pencari kerja.

    Terdapat 135,401 kekosongan jawatan di Slovakia pada Julai, dengan jumlah tertinggi di wilayah Bratislava iaitu 61,471 dan terendah di wilayah Presov iaitu 3,052. Bilangan kekosongan jawatan yang sesuai untuk graduan direkodkan sebanyak 52,284.

  • Ribut kencang menyebabkan seorang maut dan kerosakan di Jerman

    Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan beberapa orang lagi cedera apabila ribut kencang melanda beberapa negeri Jerman semalaman, merosakkan rumah, menumbangkan pokok dan mengganggu aktiviti luar, lapor berita Xinhua memetik pihak berkuasa pada Khamis.

    Di Waldorf di negeri barat Rhineland-Palatinate, seorang wanita berusia 58 tahun terbunuh dan seorang wanita berusia 47 tahun cedera parah selepas sebatang pokok tumbang menghempas kawasan tempat duduk berbumbung tempat mereka mencari perlindungan daripada ribut, polis dilapor berkata.

    Di tempat lain di negeri itu, angin kencang dilapor merobohkan dinding rumah, menumbangkan pokok dan menghantar elemen fasad dan serpihan lain berterbangan, menyebabkan kerosakan selanjutnya.

    Di negeri timur Brandenburg, puting beliung melanda Fuerstenwalde, menyebabkan tiga orang mengalami kecederaan ringan, lapor Xinhua memetik penyiar serantau rbb. Perkhidmatan Cuaca Jerman (DWD) dilapor mengesahkan bahawa puting beliung telah berlaku.

    Puting beliung juga dilaporkan di negeri tengah Hesse, di mana berpuluh-puluh rumah rosak dan sebahagiannya tidak boleh didiami, lapor Xinhua.

    Insiden berkaitan ribut juga dilaporkan di negeri tengah Thuringia dan negeri selatan Bavaria, termasuk pokok tumbang, ruang bawah tanah yang ditenggelami air dan kerosakan yang disebabkan oleh pokok tumbang.

    Menurut Xinhua, DWD memberi amaran bahawa ribut teruk selanjutnya boleh melanda Jerman, terutama negeri selatan Baden-Wuerttemberg dan Bavaria.

  • 1 maut, 2 cedera helikopter berlanggar dengan pesawat kecil di Pennsylvania AS

    Seorang juruterbang terbunuh dan dua anggota polis negeri cedera apabila sebuah pesawat kecil berlanggar dengan helikopter Polis Negeri Pennsylvania pada petang Rabu, menurut berita Xinhua memetik media AS.

    Perlanggaran udara itu berlaku di Lapangan Terbang Carlisle semasa latihan, lapor Xinhua, juruterbang pesawat kecil itu, sebuah Cessna 150, terbunuh dan dua anggota polis negeri cedera.

    Gabenor Pennsylvania Josh Shapiro, dalam satu catatan di X dilaporkan, mengenal pasti dua yang cedera sebagai Juruterbang Koperal Polis Negeri Bryce Corman dan Juruterbang Trooper Jason Mills.

    Kru helikopter dua orang itu sedang menjalankan latihan rutin apabila Cessna 150 itu melanggar helikopter dari belakang, kata pegawai, menurut Xinhua.

  • Ramai dilapor maut akibat runtuhan lombong emas di sempadan Cameroon-CAR

    Ramai pelombong dilaporkan maut dan terperangkap pada Selasa selepas sebuah lombong emas runtuh di sebuah perkampungan sempadan antara Cameroon dan Republik Afrika Tengah (CAR).

    Menurut berita Xinhua, kejadian itu berlaku kira-kira jam 3 petang waktu tempatan di perkampungan Zamboye.

    Pihak berkuasa belum mengeluarkan angka kematian rasmi, lapor Xinhua, namun saluran media di Cameroon dan CAR melaporkan, lebih daripada 100 orang dikhuatiri mati.

    Operasi menyelamat sedang dijalankan untuk sampai ke pelombong yang dipercayai terperangkap di bawah tanah selepas runtuhan itu.