Berita

  • Juruterbang maut nahas pesawat di selatan Portugal

    Seorang juruterbang terbunuh pada pagi Sabtu apabila sebuah pesawat ringan terhempas di lapangan terbang Portimao di daerah selatan Faro di Portugal, menurut pihak berkuasa perlindungan awam dipetik oleh agensi berita Lusa, lapor Xinhua.

    Mangsa, dilaporkan seorang lelaki berusia 28 tahun, adalah satu-satunya yang berada di dalam pesawat itu.

  • Sekurang-kurangnya 20 maut nahas lori tangki di Republik Afrika Tengah

    Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan beberapa yang lain cedera pada petang Jumaat apabila sebuah lori tangki diesel terbalik di barat daya Bangui, ibu negara Republik Afrika Tengah, menurut berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, pegawai belum mengesahkan jumlah kematian muktamad, tetapi jumlah sementara adalah 20 orang, dengan beberapa yang lain cedera dan dibawa ke hospital di Bangui untuk rawatan.

  • Dua tren berlanggar di timur Zagreb, 20 cedera

    Sebuah tren penumpang dan sebuah tren barang berlanggar pada pagi Sabtu dekat Skrinjari, kira-kira 60 kilometer di timur ibu kota Croatia, Zagreb, menyebabkan enam penumpang parah dan 14 yang lain cedera ringan, menurut berita Xinhua.

    Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 10:05 pagi waktu tempatan (0805 GMT) di bahagian landasan di antara stesen Sveti Ivan Zabno dan Gradec, menurut penyiar kebangsaan Croatian Radiotelevision (HRT), lapor Xinhua.

    Terdapat 28 orang di dalam tren penumpang ketika perlanggaran itu berlaku, membabitkan 26 penumpang, seorang pemandu kereta api dan seorang konduktor.

  • Angka maut tembakan di Thailand dilapor meningkat kepada sembilan

    Jumlah kematian akibat tembakan di Thailand dilapor meningkat kepada sembilan orang pada Sabtu, selepas polis berkata seorang gadis berusia 12 tahun meninggal dunia.

    Menurut Reuters, polis di Balai Polis Plai Bang di Wilayah Nonthaburi memberitahunya bahawa gadis itu meninggal dunia pada Sabtu, sehari selepas seorang budak lelaki berusia 14 tahun didakwa menembak datuk dan neneknya dan kemudian membunuh lima orang lagi di sekolahnya sebelum mengacukan pistol ke arah dirinya sendiri.

  • 8 maut selepas bas terbalik di utara India

    Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan 10 lagi cedera pada Sabtu selepas sebuah bas persendirian tergelincir dari jalan raya dan jatuh ke jalan yang lebih rendah di negeri Himachal Pradesh, utara India, menurut berita Xinhua memetik polis.

    Kemalangan itu dilapor berlaku di kawasan pergunungan di daerah Chamba, kira-kira 393 km di utara Shimla, ibu kota Himachal Pradesh.

    Laporan mengatakan bas itu membawa 18 orang pada masa kemalangan berlaku.

    Menurut Xinhua, hujan lebat di Himachal Pradesh menyebabkan penutupan 185 jalan raya di negeri itu.

    Xinhua memetik pusat operasi kecemasan negeri, 143 orang terbunuh di negeri itu sejak monsun bermula pada 30 Jun. Daripada jumlah itu, 65 orang terbunuh dalam insiden berkaitan hujan, dan 78 yang lain kehilangan nyawa dalam kemalangan jalan raya.

  • 1 maut, 5 cedera ribut di selatan Brazil

    Ribut disertai puting beliung menyebabkan seorang maut, lima cedera dan lebih 2,300 orang hilang tempat tinggal di negeri Rio Grande do Sul di selatan Brazil, menurut berita Xinhua memetik agensi pertahanan awam pada Jumaat.

    Kematian itu dilapor berlaku di perbandaran Montenegro, di mana mangsa maut ditimpa pokok tumbang.

    Secara keseluruhan, ribut itu merosakkan rumah, bangunan awam, sekolah dan rangkaian kuasa di 114 perbandaran.
    Tiupan angin melebihi 130 km sejam di beberapa kawasan, lapor Xinhua.

  • 8 maut insiden tembakan di Nonthaburi Thailand

    Seorang remaja Thai dalam kejadian pada Jumaat menembak mati datuk dan neneknya sebelum membunuh sekurang-kurangnya lima orang dan dirinya sendiri di sebuah sekolah di luar Bangkok, menurut berita Reuters.

    Menurut Anadolu, penyiar awam Thai PBS sebelum ini melaporkan lelaki bersenjata itu dilaporkan seorang pelajar gred sembilan berusia 14 tahun yang ditemui mati selepas membunuh diri.

    Dua mayat – datuk dan nenek penembak – ditemui di rumahnya, lapor Anadolu, pistol yang digunakan dalam serangan itu adalah milik datuk.

    Penembakan berlaku di Sekolah Debsirin Nonthaburi, di mana lebih 30 orang cedera, Anadolu memetik akhbar Matichon.

    Wilayah Nonthaburi terletak di barat laut ibu negara Thailand, Bangkok, dan merupakan sebahagian daripada wilayah metropolitan Bangkok yang lebih luas.

  • Helikopter terhempas ketika memadam kebakaran hutan di Utah

    Sebuah helikopter pemadam kebakaran terhempas pada Jumaat ketika memadam kebakaran hutan yang besar di negeri Utah AS, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa.

  • Sekurang-kurangnya 5 maut nahas jalan raya di barat tengah Brazil

    Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera pada Jumaat dalam kemalangan membabitkan sebuah bas, sebuah trak dan dua kereta di lebuh raya di Luziania di negeri tengah-barat Brazil, Goias, menurut berita Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan.

    Xinhua melaporkan, menurut Jabatan Bomba Tentera Goias, antara yang terkorban ialah dua wanita dan seorang bayi yang menaiki bas, serta dua lelaki yang berada di dalam trak. Semua lima orang maut di tempat kejadian.

    Bas itu membawa 48 penumpang, termasuk orang dewasa dan kanak-kanak.

  • 13 maut dalam nahas pesawat pelancong di Peru

    Sebuah pesawat pelancong kecil terhempas pada Sabtu ketika ia terbang di atas tapak arkeologi Nazca Lines di selatan Peru, mengorbankan 13 orang, menurut berita Reuters memetik pihak berkuasa di wilayah Nazca.

    Kementerian Perdagangan dan Pelancongan Peru dilapor berkata dalam kenyataan, pesawat itu membawa 11 pelancong asing dan dua anggota kru.

    Menurut Reuters, pihak berkuasa tempatan berkata, pesawat itu terhempas di kawasan Pueblo Viejo, kira-kira 6 km (4 batu) dari bandar Nazca dan kira-kira 12 km (7 batu) dari tapak Nazca Lines.

    Pesawat kecil itu milik syarikat penerbangan tempatan Peru, Aerodiana, menurut Reuters memetik pihak berkuasa tempatan, dan telah berlepas dari Lapangan Terbang Pisco.

    Reuters melaporkan, menurut laporan polis kepada akhbar tempatan, kemalangan itu berlaku pada jam 12:55 tengah hari waktu tempatan semasa pesawat itu sedang menjalankan penerbangan bersiar-siar dan sedang bersedia untuk memulakan perjalanan pulang.

    Selepas terhempas, pesawat itu terbakar, menyebabkan sebarang usaha menyelamat mustahil dilakukan, Reuters memetik penyiar Peru RPP.

    Nazca Lines, lukisan besar dan figura geometri yang terukir di dataran gurun di selatan negara itu, merupakan salah satu destinasi pelancongan utama Peru, menarik kira-kira 100,000 pengunjung tahunan. Pengunjung biasanya melihatnya dari pesawat kecil yang terbang di atas tapak itu.