Empat rakyat Palestin terkorban dan 14 yang lain, termasuk seorang kanak-kanak dan seorang wanita, cedera dalam serangan Israel di seluruh Jalur Gaza pada Sabtu, menurut berita Anadolu memetik sumber perubatan.
Serangan itu berlaku di tengah-tengah pelanggaran berterusan oleh tentera Israel terhadap perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak Oktober 2025.
Tiga rakyat Palestin maut dan beberapa yang lain cedera dalam serangan Israel terhadap sebuah kenderaan di kawasan kejiranan Tel al-Hawa, barat daya bandar Gaza, menurut Anadolu memetik sumber perubatan di Hospital Al-Shifa yang memberitahunya.
Di utara Gaza, sumber yang sama berkata tembakan tentera Israel telah membunuh Ahmad Abu Jabal di kem pelarian Halawa, timur Jabalia.
Satu lagi sumber perubatan memberitahu Anadolu bahawa dua rakyat Palestin telah dimasukkan ke hospital dengan kecederaan sederhana selepas tentera Israel melepaskan tembakan di Jabalia.
Menurut Anadolu, sumber tempatan mengatakan kenderaan tentera Israel dan dron ‘quadcopter’ melepaskan tembakan ke arah khemah-khemah yang menempatkan rakyat Palestin terlantar di kem Halawa, timur Jabalia.
Beberapa kawasan di seluruh Jalur Gaza turut menjadi sasaran bedilan artileri Israel sepanjang malam Jumaat hingga Sabtu, lapor Anadolu.
Menurut Anadolu, sumber tempatan melaporkan bedilan di timur Jabalia dan Beit Lahia, disertai dengan tembakan senjata api yang sengit.
Di selatan Gaza, satu sumber perubatan di Hospital Nasser memaklumkan bahawa seorang kanak-kanak dan seorang wanita telah dimasukkan ke hospital dengan kecederaan sederhana pada kaki akibat tembakan tentera Israel, lapor Anadolu.
Sumber itu dilapor berkata, kenderaan tentera Israel melepaskan tembakan di kawasan Al-Kanisa, barat daya Khan Younis.
Menurut Anadolu, satu sumber perubatan di Hospital Nasser memberitahunya bahawa bilangan rakyat Palestin yang cedera dalam serangan dron Israel dekat kawasan Al-Maslakh di selatan Khan Younis telah meningkat kepada lapan orang.
Saksi turut melaporkan tembakan menyasarkan khemah-khemah pelarian Palestin di selatan Khan Younis dan utara Rafah.
Menurut Anadolu, sumber perubatan itu menyatakan bahawa dua lagi rakyat Palestin cedera parah dalam serangan dron Israel yang menyasarkan perkumpulan orang di Al-Mawasi, barat Khan Younis.
Di tengah Gaza, sumber tempatan melaporkan artileri Israel melepaskan beberapa bedilan ke arah kawasan di utara kem pelarian Bureij, lapor Anadolu, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian terbabit.
