Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh ketika Israel meningkatkan serangan di selatan Lubnan

Sebelas orang terbunuh dan lima yang lain cedera pada Jumaat ketika Israel meningkatkan serangan ke atas beberapa kawasan di selatan Lubnan, menurut berita Xinhua memetik laporan media rasmi Lubnan.

Lapan warga Syria terbunuh dalam serangan udara Israel di kawasan Hartiyeh dekat pekan pesisir Adloun, menurut Xinhua memetik Agensi Berita Nasional (NNA).

Seorang pegawai polis perbandaran terbunuh dalam serangan dron di kampung Abaa, lapor Xinhua memetik agensi itu.

Menurut laporan itu lagi, dua terbunuh dan lima cedera apabila sebuah rumah dilanda sejurus selepas tengah malam di kampung Tayr Debba di daerah Tyre.

Xinhua melaporkan, Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam Lubnan berkata, antara 2 Mac dan 29 Mei, serangan Israel di Lubnan telah membunuh 3,355 orang dan mencederakan 10,095 orang.