Tiga anggota Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) terbunuh awal Khamis dalam serangan udara AS, ketika IRGC mengatakan ia telah melancarkan serangan balas ke atas kemudahan tentera AS di Jordan dan Kuwait, menurut berita Xinhua memetik laporan media Iran.
Menurut Xinhua, agensi berita separa rasmi Iran, Mehr, mengenal pasti mangsa sebagai Mahmoud Mollajabbari, Mohammad-Reza Cheraghi, dan Jamal Amiri, yang berkhidmat dengan unit Ansar al-Mahdi IRGC di wilayah barat laut Zanjan.
Perintah Pusat AS (CENTCOM) dilapor mengatakan dalam catatan di X awal Khamis bahawa pasukannya telah menyelesaikan “gelombang serangan besar-besaran terhadap Iran sebagai tindak balas terhadap percubaan serangan peluru berpandu semalam ke atas pasukan AS”.
Ia menambah bahawa pasukan AS telah menyerang berpuluh-puluh tapak IRGC, “termasuk pusat arahan tentera, kemudahan peluru berpandu dan dron, tapak pengawasan dan pertahanan pantai, serta keupayaan maritim”.
Xinhua memetik agensi berita rasmi Iran, IRNA, serangan itu terutama menyasarkan empat wilayah selatan Iran iaitu Hormozgan, Khuzestan, Fars, dan Bushehr.
Ia menambah bahawa satu serangan ke atas sebuah bangunan kediaman di Pulau Qeshm membunuh tiga ahli keluarga dan mencederakan dua orang lagi yang berasal dari keluarga sama.
Menurut Xinhua, IRGC dalam kenyataan di saluran berita rasminya, Sepah News, berkata pasukan aeroangkasanya menyerang Pangkalan Udara Al-Azraq di Jordan dengan peluru berpandu balistik, menyasarkan landasan penempatan dan hangar penyelenggaraan dan pembaikan jet pejuang F-35.
Ia menambah bahawa tiga pesawat F-35 musnah, tiga yang lain rosak teruk, dan beberapa pegawai “musuh” serta kakitangan teknikal dan penyelenggaraan terbunuh.
IRGC juga mengumumkan bahawa tentera aeroangkasa dan daratnya telah menyerang kemudahan dan aset AS di Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait, mendakwa telah memusnahkan dua hangar dron, sebuah depot bahan api penerbangan, dan helikopter tentera AS.
Operasi itu, tambahnya, bertujuan untuk “menghukum penceroboh”.
Pertempuran terbaru itu berlaku selepas beberapa hari jeda permusuhan antara AS dan Iran. Sebelum jeda itu, AS melancarkan pelbagai gelombang serangan terhadap sasaran Iran, dengan mengatakan ia adalah sebagai tindak balas terhadap serangan Iran ke atas kapal di Selat Hormuz dan bertujuan untuk “merendahkan keupayaan Iran untuk mengancam perkapalan komersial”.
Iran bertindak balas dengan serangan peluru berpandu dan dron menyasarkan pangkalan dan kemudahan tentera AS di seluruh rantau itu.
