Dua mayat ditemui selepas runtuhan salji di Himlung, Nepal

Dua mayat ditemui selepas runtuhan salji melanda kawasan kem pangkalan Gunung Himlung di daerah pergunungan Manang, Nepal pada pagi Ahad, menurut pihak polis Nepal, lapor berita Xinhua.

Runtuhan salji itu melanda kem pangkalan gunung setinggi 7,126 meter itu dan menimbus beberapa khemah yang menempatkan jurupandu ekspedisi serta kakitangan sokongan daripada pasukan pendahulu yang berada di situ untuk menjalankan pemerhatian dan persiapan penting menjelang musim pendakian musim luruh.

Menurut Xinhua, polis Nepal memaklumkan menerusi hantaran di media sosial bahawa dua mayat telah ditemui susulan kejadian itu, sementara operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Syarikat-syarikat ekspedisi yang terbabit berkata beberapa kakitangan mereka, yang berada di kem pangkalan untuk memasang tali dan mendirikan khemah, masih belum ditemui, menurut Xinhua.

Menurut Xinhua, terdahulu, Barun Bhandari, pengurus besar Himalayan Holidays, sebuah syarikat ekspedisi, memberitahunya bahawa lebih daripada setengah dozen jurupandu ekspedisi dan kakitangan sokongan mereka gagal dikesan selepas runtuhan salji itu.

Ketua Pegawai Daerah Manang, Mukti Prasad Khanal, dilapor berkata helikopter telah dikerahkan untuk menjalankan operasi menyelamat.

Insiden itu berlaku ketika keadaan cuaca buruk dan hujan lebat melanda beberapa kawasan di Nepal, termasuk Manang.