Kumpulan Houthi Yaman berkata pada Isnin bahawa serangan udara Arab Saudi menghentam sebuah rumah di wilayah barat daya di Taiz, mengorbankan empat orang dan mencederakan tiga yang lain, ketika serangan udara Saudi terus dilancarkan di kawasan dikuasai Houthi di negara itu, menurut berita Xinhua.
Menurut Xinhua, TV Al-Masirah dikendalikan oleh Houthi melaporkan pesawat perang Saudi melancarkan serangan udara ke atas sebuah rumah kediaman di daerah Al-Ma’afer, wilayah Taiz, mengorbankan tiga wanita serta seorang lelaki warga emas dan mencederakan tiga individu lain.
Ia turut berkata pesawat perang Saudi menyerang sebuah sekolah di daerah Al-Ta’iziyah, wilayah Taiz, buat kali ketiga, memusnahkan sepenuhnya sisa bangunan terbabit, menurut Xinhua, tiada laporan segera mengenai sebarang korban jiwa.
Al-Masirah juga menurut Xinhua, melaporkan pesawat Saudi melancarkan dua serangan udara ke atas daerah Adh Dhahir di wilayah utara di Saada, yang bersempadan dengan Arab Saudi dan merupakan kubu kuat utama kumpulan Houthi.
Saluran itu juga melaporkan pasukan Saudi membedil ke arah kampung-kampung berpenduduk di kawasan utara di daerah Razih, yang turut terletak di wilayah Saada, menurut Xinhua, tiada maklumat segera diberikan mengenai sebarang korban jiwa.
Menurut Xinhua, tiada ulasan segera daripada Arab Saudi berhubung dakwaan pihak Houthi itu, yang tidak dapat disahkan secara bebas.
