3 lagi rakyat Palestin maut di Gaza

Tiga lagi rakyat Palestin dilapor maut dalam tempoh 24 jam lalu di Jalur Gaza, meningkatkan jumlah kematian akibat genosid oleh Israel sejak Oktober 2023 kepada 73,329.

Menurut berita Anadolu, Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan berkata, hospital di kawasan itu menerima tiga mayat, termasuk dua yang maut akibat tembakan Israel dan seorang lagi meninggal dunia akibat kecederaan sebelumnya.

Kementerian itu berkata, 12 orang yang cedera juga dipindahkan ke hospital dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah yang cedera kepada 174,009.

Menurut Anadolu, walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025, tentera Israel terus melancarkan serangan hariannya di Gaza, membunuh sekurang-kurangnya 1,203 rakyat Palestin dan mencederakan 3,900 yang lain.

Perjanjian gencatan senjata dicapai selepas dua tahun genosid dilancarkan oleh Israel pada 8 Oktober 2023, yang telah menyebabkan kemusnahan meluas menjejaskan 90% infrastruktur awam, dengan kos pembinaan semula dianggarkan oleh PBB sekitar $70 bilion, lapor Anadolu.