Sekurang-kurangnya tiga orang maut pada Rabu selepas ribut kuat melanda Sao Paulo, negeri paling ramai penduduk dan perindustrian di Brazil, membawa angin kencang lebih 120 km sejam, menurut berita Xinhua memetik Jabatan Pertahanan Awam dan Bomba negeri.
Di bandar-bandar di sepanjang pantai Atlantik negeri Sao Paulo, di tenggara Brazil, kelajuan angin melebihi 100 km sejam, manakala operasi di Pelabuhan Santos, satu daripada pelabuhan laut terbesar di Amerika Latin, ditangguhkan selama dua jam. Mangsa termasuk seorang gelandangan yang ditimpa pokok tumbang akibat angin kencang.
Di perbandaran pantai Sao Sebastiao, seorang nelayan berusia 50 tahun lemas selepas sebuah bot nelayan terbalik semasa ribut. Lima orang lain diselamatkan oleh sebuah bot persendirian dan menerima rawatan daripada kru kecemasan.
Di perbandaran pedalaman Cesario Lange, seorang lelaki berusia 62 tahun maut dihempap sebatang pokok tumbang ke atas keretanya semasa dia memandu pulang dari kerja.
Di ibu kota Sao Paulo, Pusat Pengurusan Kecemasan Iklim melaporkan tiupan angin sehingga 70 km sejam.
