3 maut dalam tembakan di Ohio

Tiga orang maut manakala seorang lagi cedera dalam satu kejadian tembakan pada petang Sabtu semasa majlis meraikan bakal ibu (baby shower) di Parma, sebuah bandar di negeri Ohio, Amerika Syarikat, menurut polis tempatan — lapor berita Anadolu.

Jabatan Polis Parma menerima panggilan kecemasan berhubung insiden yang melibatkan ramai mangsa di blok 5300 Ridge Road sekitar jam 6 petang waktu tempatan (2300 GMT).

Jurucakap polis Parma, Scott Traxler, memberitahu media tempatan bahawa tembakan tercetus di dalam premis ‘Pandora’s Magical Events Venue’ semasa majlis itu berlangsung. Traxler berkata, seorang remaja perempuan dan dua lelaki dewasa meninggal dunia di tempat kejadian, sementara seorang lagi mangsa mengalami kecederaan akibat tembakan pada kaki.

Pihak berkuasa memaklumkan bahawa dua individu bersenjata yang terbabit dalam kejadian itu telah dikenal pasti dan ditahan.

Polis memberi jaminan kepada penduduk setempat bahawa tiada lagi ancaman terhadap orang awam.