Tiga maut selepas kapal nelayan Iceland karam di luar pantai timur

Tiga anggota kru maut manakala 14 orang berjaya diselamatkan selepas kapal nelayan Iceland, Jokull, karam di luar pantai timur negara itu pada petang Rabu, kata Perdana Menteri Kristrun Frostadottir pada satu sidang akhbar di Reykjavik pada Khamis, menurut berita Xinhua.

Pengawal Pantai Iceland dalam satu kenyataan pada petang Rabu berkata, kapten kapal telah melaporkan bahawa kapal terbabit berada dalam kecemasan sejurus selepas 5 petang waktu tempatan (1700 GMT). Ia segera mengerahkan kru helikopter, pesawat peronda dan pasukan penyelamat maritim.

Menurut Xinhua, media Iceland melaporkan bahawa kapal itu sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan kira-kira 100 km di timur Glettinganes, sebuah tanjung di timur Iceland, apabila panggilan kecemasan dibuat.

Ketua Pengawal Pantai memberitahu sidang akhbar bahawa kru meninggalkan kapal selepas kapten melaporkan bahawa air mula masuk ke dalam kapal. Sebuah helikopter Pengawal Pantai telah menyelamatkan semua 17 anggota kru dari dalam air dan membawa mereka ke darat, dan tiga daripada mereka kemudian disahkan meninggal dunia.

Frostadottir menyifatkan kejadian kapal karam itu sebagai satu daripada kemalangan maritim paling membawa maut di Iceland dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Dia menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa terkorban dan merakamkan penghargaan kepada penyelamat.