Lelaki Palestin maut akibat serangan Israel di Gaza

Seorang lelaki Palestin maut dan beberapa yang lain, termasuk wanita dan kanak-kanak, cedera pada Jumaat dalam serangan Israel di Jalur Gaza, di tengah-tengah pelanggaran berterusan terhadap perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025, menurut berita Anadolu.

Menurut Anadolu, sumber perubatan memberitahunya, seorang lelaki Palestin meninggal dunia akibat kecederaan dialami dalam serangan dron Israel yang menyasarkan orang awam di Jabalia pada pagi Jumaat.

Beberapa rakyat Palestin lain turut cedera dalam serangan itu, kata sumber terbabit tanpa menyatakan bilangan mereka.

Menurut Anadolu, di bandar Gaza, sumber perubatan memberitahunya bahawa enam rakyat Palestin yang cedera, termasuk wanita dan kanak-kanak, telah dibawa ke Hospital Al-Shifa susulan satu serangan Israel.

Sumber tempatan berkata, serangan itu menyasarkan sebuah apartmen di bangunan kediaman Al-Hasayna, di kawasan kejiranan Al-Rimal di barat bandar Gaza.

Di tengah Gaza, sumber tempatan melaporkan serangan artileri Israel di sebelah timur Deir al-Balah, namun tiada laporan segera mengenai korban jiwa, lapor Anadolu.

Di selatan Gaza, sumber perubatan di Hospital Nasser memaklumkan bahawa seorang wanita Palestin mengalami kecederaan akibat tembakan tentera Israel di selatan Khan Younis.

Terdahulu pada Jumaat, saksi melaporkan kenderaan tentera Israel melepaskan tembakan berat ke arah kawasan timur dan tengah Khan Younis, yang turut disertai dengan bedilan artileri, menurut Anadolu.