Pelapor Khas PBB, Francesca Albanese, mengutuk keputusan Costa Rica untuk menghalangnya daripada memasuki negara terbabit, menolak dakwaan mengaitkannya dengan keganasan dan menuntut pihak berkuasa untuk mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan mereka atau memohon maaf, lapor berita Anadolu.
Albanese, yang merupakan Pelapor Khas PBB mengenai situasi hak asasi manusia di wilayah Palestin diduduki, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Juan Santamaria atas jemputan Universiti Costa Rica, yang dijadualkan menganugerahkan ijazah kehormat kepadanya pada Jumaat.
Menurut Anadolu, pengarah imigresen Costa Rica, Omer Badilla, berkata dalam satu kenyataan video bahawa pihak berkuasa menghalang kemasukan Albanese atas alasan keselamatan negara, memetik dakwaan adanya amaran antarabangsa yang mengaitkannya dengan tindakan keganasan, menurut Anadolu, Badilla tidak menyatakan pihak berkuasa mana yang mengeluarkan amaran itu dan tidak mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan berkenaan.
Bercakap kepada saluran berita Costa Rica, Delfino.cr, dari lapangan terbang itu, Albanese menolak keras tuduhan terbabit — lapor Anadolu.
“Mereka perlu membuktikannya, atau menarik balik dakwaan itu dan memohon maaf,” katanya, sambil menegaskan bahawa walaupun sesebuah kerajaan mempunyai hak untuk mengawal kemasukan ke wilayah mereka, ia tidak memberi hak untuk memfitnah individu.
“Ini tidak masuk akal. Malah Amerika Syarikat pun tidak bertindak sejauh ini,” katanya.
Albanese turut mendakwa pihak berkuasa Costa Rica cuba menghantarnya pulang ke Perancis walaupun dia tidak bersetuju.
Dalam satu kenyataan, Universiti Costa Rica menggesa pihak berkuasa imigresen dan Kementerian Luar Negeri untuk menjelaskan asas undang-undang di sebalik keputusan mereka dan memastikan Albanese menerima layanan sewajarnya sebagai seorang pakar PBB yang sedang menjalankan tugas, serta diberikan jaminan proses undang-undang sewajarnya.
Universiti itu menyifatkan tindakan menghalang kemasukan itu sebagai satu perkara membimbangkan, memerlukan penjelasan terbuka.
Sementara itu, Mahkamah Perlembagaan Costa Rica telah mengeluarkan perintah sementara yang menghalang pihak berkuasa daripada mengusir Albanese secara paksa dari negara itu, sementara menunggu keputusan mengenai petisyen habeas corpus difailkan bagi pihaknya, menurut Anadolu memetik laporan media tempatan.
Mahkamah juga mengarahkan pegawai imigresen untuk mengemukakan laporan bersumpah yang menjelaskan tindakan mereka dalam tempoh 24 jam.
Albanese, seorang pakar undang-undang dari Itali yang dilantik oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada tahun 2022, merupakan pengkritik lantang terhadap genosid dilakukan oleh Israel di Gaza dan layanan rejim itu terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki.
AS mengenakan sekatan terhadap Albanese pada Julai 2025 susulan kerjasamanya dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), satu tindakan yang mengundang kritikan daripada presiden Majlis Hak Asasi Manusia PBB.
