Serangan udara Israel mengorbankan sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin di utara Jalur Gaza pada Selasa, termasuk seorang pesakit di pusat penjagaan kesihatan, menurut berita Reuters memetik petugas perubatan.
Serangan udara Israel ke atas sebuah kenderaan mengorbankan sekurang-kurangnya dua rakyat Palestin, seorang daripadanya kanak-kanak, dan mencederakan tujuh yang lain di kawasan kejiranan Sheikh Radwan di utara Jalur Gaza, menurut petugas perubatan.
Tentera Israel berkata ia telah menyerang seorang anggota militan di kawasan itu, tanpa memberikan perincian lanjut, lapor Reuters.
Saksi dilapor berkata, sesetengah mangsa akibat serangan kedua dekat sekumpulan orang yang bergegas untuk membantu mangsa serangan awal.
Menurut Reuters, dalam kejadian berasingan, badan amal kesihatan British, Medical Aid for Palestinians, berkata pada Selasa bahawa seorang pesakit terbunuh di pusat kesihatan yang disokongnya di Jabalia, utara Gaza.
Pertubuhan itu dilapor berkata, pesakit terbabit ditembak oleh dron quadcopter tentera Israel.
