Sekurang-kurangnya 12 maut kemalangan bot di timur DR Congo

Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi masih hilang selepas sebuah bot terbalik di Tasik Kivu di timur Republik Demokratik Congo (DRC), menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan pada Ahad.

Kemalangan itu berlaku antara malam Sabtu dan awal pagi Ahad. Bot terbabit bertolak dari Bukavu, ibu kota Wilayah Kivu Selatan, dan terbalik dalam perjalanan.

Menurut Xinhua, media tempatan memetik maklumat awal, melaporkan mungkin terdapat lebih 80 orang di atas bot itu. Pasukan penyelamat telah menemui sekurang-kurangnya 12 mayat dan lima mangsa yang terselamat setakat pagi Ahad, manakala nasib berpuluh-puluh orang lagi masih belum diketahui.