Iran tambah saluran TV kerajaan Azerbaijan ke dalam senarai ‘media bermusuhan’, kata Baku

Agensi Pembangunan Media Azerbaijan pada Isnin dilapor berkata Kementerian Perisikan Iran memasukkan saluran televisyen kerajaan negara Caucasus Selatan itu, AzTV, ke dalam senarai “organisasi media bermusuhan”.

Menurut berita Anadolu, agensi itu dalam kenyataan di X berkata, AzTV adalah antara “saluran media asing tertentu” yang termasuk dalam senarai itu dan menyatakan kebimbangan mengenai langkah Kementerian Perisikan, serta “ancaman pendakwaan jenayah terhadap individu bekerjasama dengan organisasi terbabit”.

Kenyataan itu dilapor berkata, Azerbaijan kekal komited untuk “melindungi aktiviti profesional wartawan sambil mematuhi prinsip timbal balik”.

Ia menyatakan bahawa di bawah undang-undang Azerbaijan, Baku boleh mengenakan “sekatan yang setara” terhadap negara lain jika negara itu mengenakan “sekatan khas ke atas aktiviti profesional wartawan yang berdaftar dalam Daftar Media Azerbaijan”.

Dalam konteks ini, ia menyatakan bahawa aktiviti beberapa saluran media Iran, serta wakil mereka, di Azerbaijan “dianggap menyalahi undang-undang” kerana mereka “melibatkan diri dalam aktiviti bertentangan dengan kepentingan negara Republik Azerbaijan dan dalam propaganda terhadap kedaulatan negara, ketenteraman perlembagaan, integriti wilayah dan keselamatan negara”, lapor Anadolu, Iran masih belum mengesahkan langkah sedemikian oleh kementerian perisikannya.