Kadar perkahwinan di China bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini menjunam ke paras terendah dalam tempoh 18 tahun, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai penurunan kadar kelahiran dan tekanan demografi di negara yang mana kelahiran anak masih berkait rapat dengan ikatan perkahwinan, lapor berita Reuters.
Menurut Reuters, data daripada Kementerian Hal Ehwal Awam yang diterbitkan minggu ini, menunjukkan sebanyak 4.65 juta pasangan berkahwin dari Januari hingga akhir September, manakala 2.08 juta pasangan pula bercerai.
Angka itu merupakan yang terendah dalam tempoh 18 tahun, menurut Reuters memetik saluran berita tempatan, Yicai, yang melaporkan pada Jumaat.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa China telah melaksanakan pelbagai langkah untuk menggalakkan perkahwinan dan kelahiran anak, termasuk pemberian subsidi keluarga, sokongan penjagaan kanak-kanak, serta pengurangan kos perubatan yang berkaitan dengan kelahiran.
Mereka juga telah berjanji untuk menyepadukan pembangunan belia ke dalam perancangan bandar, perumahan, penjagaan kesihatan, pendidikan, dan perkhidmatan awam, sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menjadikan kehidupan di bandar lebih kondusif bagi golongan muda, kanak-kanak dan keluarga.
Walaupun terdapat usaha-usaha ini, China kini menanggung bilangan warga emas yang lebih ramai berbanding kanak-kanak, dengan nisbah tanggungan warga emas telah melebihi nisbah tanggungan kanak-kanak.
Populasi China mencatatkan penurunan bagi tahun keempat berturut-turut pada 2025, dengan kadar kelahiran jatuh ke paras terendah dalam sejarah, sekali gus mendorong pakar demografi memberi amaran mengenai kemungkinan penurunan yang lebih ketara pada masa depan.
Bilangan wanita di China yang berada dalam usia reproduktif—yang ditakrifkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai lingkungan umur 15 hingga 49 tahun—dijangka merosot lebih daripada dua pertiga kepada kurang daripada 100 juta menjelang akhir abad ini.
