Netanyahu, Trump dilapor bertelagah mengenai Iran dalam satu panggilan telefon yang tegang

Perdana menteri Israel Benjamin Netanyahu dan presiden AS Donald Trump, dilaporkan bertelagah semasa satu panggilan telefon pada hujung minggu lalu, di tengah-tengah perbezaan pendapat mengenai kemungkinan untuk menyambung semula operasi ketenteraan terhadap Iran, menurut laporan media pada Selasa — lapor berita Anadolu.

Menurut Anadolu, akhbar Yedioth Ahronoth, memetik sumber yang mengetahui mengenai perbualan itu, berkata panggilan itu tertumpu terutama kepada Iran serta perbezaan pandangan antara Washington dan Tel Aviv berhubung kemungkinan tercetusnya semula peperangan.

Sumber-sumber menyifatkan perbualan itu sebagai sangat sukar dan penuh dengan konfrontasi, dengan seorang daripadanya menggelarnya sebagai “perbualan penuh jeritan dari neraka”.

Pejabat Netanyahu bagaimanapun menolak dakwaan itu dan menafikan bahawa perbualan itu bersifat kontroversi.

“Berita palsu, karut semata-mata,” tegas pejabat itu sebagai respons.

Seorang pegawai kanan Israel turut mengesahkan bahawa panggilan telefon itu memang berlaku, namun menegaskan bahawa ia tidaklah sesukar yang digambarkan.

Menurut Anadolu, laporan itu muncul sehari selepas Financial Times melaporkan bahawa Netanyahu telah menghubungi Trump “setiap hari” bagi mendesak dia menyambung semula tindakan ketenteraan terhadap Iran, menurut seseorang yang dimaklumkan mengenai perbincangan terbabit.