Kadar pengangguran di Slovakia berada pada 4.07 peratus pada akhir Julai, meningkat sebanyak 0.1 peratus bulan ke bulan, menurut berita Xinhua memetik laporan Pusat Buruh, Hal Ehwal Sosial dan Keluarga Slovakia (UPSVaR) pada Khamis.
Bilangan pencari kerja usia bekerja yang berdaftar dengan pejabat buruh, hal ehwal sosial dan keluarga mencapai 146,346 pada akhir Julai, peningkatan sebanyak 3,478 berbanding Jun.
Bilangan lepasan sekolah yang mendaftar dengan pejabat buruh meningkat seperti biasa. Kemasukan graduan berterusan pada Julai, apabila 3,946 lepasan sekolah menengah dan 5,689 graduan universiti didaftarkan sebagai pencari kerja.
Terdapat 135,401 kekosongan jawatan di Slovakia pada Julai, dengan jumlah tertinggi di wilayah Bratislava iaitu 61,471 dan terendah di wilayah Presov iaitu 3,052. Bilangan kekosongan jawatan yang sesuai untuk graduan direkodkan sebanyak 52,284.
