Rusia serang pengeluar dron di Kiev

Pasukan Rusia menjalankan serangan semalaman ke atas kemudahan pembuatan dron di Kiev, kata Kementerian Pertahanan Rusia pada Ahad, lapor berita Xinhua.

Menurut Xinhua, kementerian itu berkata dalam satu kenyataan media sosial bahawa serangan itu dijalankan dengan senjata pelancaran darat dan udara berketepatan tinggi dan menyasarkan kemudahan perindustrian ketenteraan yang terbabit dalam pengeluaran kenderaan udara tanpa pemandu.

Satu daripada sasaran ialah Smart Intelligent Systems, yang merupakan pengeluar pelbagai jenis kenderaan udara tanpa pemandu dan komponen berkaitan, termasuk kerangka pesawat, sistem elektronik, peralatan navigasi, peranti optik dan bateri, katanya.

Menurut Xinhua, kementerian itu berkata pasukan Rusia juga menyerang infrastruktur di pelabuhan Chornomorsk di wilayah Odessa, Ukraine, termasuk kemudahan penyimpanan bahan api dan pelincir digunakan untuk menyokong angkatan tentera Ukraine.