Sekurang-kurangnya 11 orang maut pada Sabtu dalam serangan udara ke atas sebuah kampung dekat ibu kota Yaman, Sanaa, menurut berita Xinhua memetik laporan daripada TV al-Masirah, dikendalikan oleh Houthi, menyalahkan pesawat perang Arab Saudi terhadap serangan terbabit, di tengah-tengah permusuhan yang semakin memuncak di negara dilanda perang itu.
Menurut saluran itu, lapor Xinhua, serangan udara terbabit memusnahkan lima rumah kediaman di kampung Ash Sharyah, daerah Bani Hushaysh, di sebelah timur Sanaa, dengan wanita dan kanak-kanak antara yang maut.
Ketua pejabat kesihatan daerah itu memberitahu al-Masirah, pasukan penyelamat telah menemui 11 mayat daripada runtuhan bangunan, menambah bahawa angka maut di peringkat awal memandangkan operasi mencari dan menyelamat sedang diteruskan.
Saluran itu turut melaporkan pesawat perang Arab Saudi melancarkan dua lagi serangan udara yang menyasarkan anggota penyelamat, selain melanda jalan raya menuju ke kampung terbabit, sementara pesawat tentera terus terbang di ruang udara kawasan berkenaan.
Menurut Xinhua, seorang penduduk tempatan memberitahunya bahawa pesawat perang telah berlegar-legar di ruang udara Sanaa pada awal hari, sebelum beberapa siri serangan udara menggegarkan ibu kota itu.
Serangan ini berlaku sehari selepas satu serangan ke atas sebuah pasar yang sesak di wilayah Taiz, barat daya Yaman, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang dan mencederakan lapan yang lain, dengan Houthi dan pihak berkuasa kerajaan saling menuduh antara satu sama lain berhubung pihak bertanggungjawab.
