Tentera Iran beri amaran kemungkinan serangan baharu oleh AS walaupun terdapat laporan pengunduran aset tentera laut

Iran memberi amaran pada Jumaat bahawa Amerika Syarikat (AS) mungkin melancarkan satu lagi serangan ketenteraan terhadap negara itu, walaupun terdapat laporan mengenai pengunduran vesel tentera laut Amerika dari rantau itu, menurut berita Anadolu memetik laporan agensi berita ISNA.

Jurucakap tentera, Brigedier Jeneral Mohammad Akraminia, berkata kemungkinan tindakan ketenteraan baharu oleh AS tidak boleh diketepikan, sambil membayangkan bahawa Washington mungkin mengambil langkah serangan lain disebabkan oleh kesukaran politik dihadapinya.

Dia memberi amaran bahawa sebarang serangan baharu oleh AS akan berdepan dengan tindak balas tegas daripada angkatan tentera Iran.

Memetik arahan daripada Pemimpin Tertinggi, Akraminia berkata tindak balas ketenteraan terhadap sebarang serangan mestilah dilakukan dengan segera, berkesan, dan tanpa sebarang sekatan geografi.

Dia berkata, pangkalan serta kepentingan AS di luar Asia Barat dan rantau Teluk berada dalam jangkauan peluru berpandu dan dron Iran, dan boleh disasarkan sekiranya berlaku serangan lain.

Jurucakap itu berkata, Selat Hormuz kekal di bawah kawalan strategik Iran dan tidak akan dibuka semula sehingga syarat ditetapkan dipenuhi.

Dia menegaskan angkatan tentera Iran kekal bersiap sedia sepenuhnya untuk mempertahankan negara.

AS dan Israel mula melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran pada 28 Februari lalu. Satu gencatan senjata dicapai pada April, diikuti dengan memorandum pada Jun bagi memuktamadkan perjanjian damai, namun usaha itu tidak membuahkan hasil dan konflik masih belum selesai.