Zinedine Zidane dilantik sebagai ketua jurulatih Perancis

Persekutuan Bola Sepak Perancis pada Selasa melantik Zinedine Zidane sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, menggantikan Didier Deschamps selepas tempoh 14 tahun beliau, lapor Anadolu.

Presiden Persekutuan Philippe Diallo berkata Zidane dilantik selepas rundingan dengan jawatankuasa eksekutif dan menandatangani kontrak empat tahun yang akan berkuat kuasa pada 1 Ogos.

Bekas pemain antarabangsa Perancis berusia 54 tahun itu akan mengambil alih pasukan pada September, dengan perlawanan pertamanya dijadualkan dalam Liga Negara-Negara UEFA.

Perlawanan pertama Perancis di bawah Zidane dijadualkan pada 25 September dalam Liga Negara-Negara UEFA, menentang Türkiye.

Bercakap selepas pelantikannya, Zidane berkata beliau telah menolak semua tawaran kejurulatihan sejak lima tahun lalu kerana beliau ingin menguruskan pasukan kebangsaan Perancis, menggambarkan peranan itu sebagai “satu-satunya perkara” yang beliau ingin lakukan dan “satu impian”.

Zidane menggantikan Deschamps, yang telah menguruskan Perancis sejak 2012 dan memimpin pasukan itu ke gelaran Piala Dunia FIFA 2018, perlawanan akhir Piala Dunia 2022, separuh akhir Piala Dunia 2026 dan perlawanan akhir UEFA Euro 2016.

Bekas pemain tengah itu tidak pernah menguruskan mana-mana kelab sejak meninggalkan Real Madrid pada 2021.

Zidane memulakan kerjaya kejurulatihannya sebagai pembantu kepada Carlo Ancelotti di Real Madrid pada 2013 sebelum menguruskan pasukan simpanan kelab itu.

Beliau dilantik sebagai ketua jurulatih Real Madrid pada tahun 2016 dan membimbing pasukan Sepanyol itu memenangi tiga gelaran Liga Juara-Juara UEFA berturut-turut sebelum meninggalkan kelab itu pada tahun 2018. Beliau kembali ke kelab itu pada tahun 2019 dan kekal bertanggungjawab sehingga 2021.

Zidane bermain 108 perlawanan untuk Perancis, menjaringkan 31 gol, dan memenangi Ballon d’Or pada tahun 1998. Kerjaya antarabangsanya berakhir selepas dia dibuang padang pada masa tambahan perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2006 menentang Itali susulan insiden yang membabitkan pemain pertahanan Marco Materazzi.