Berita

  • Israel selesai buat persiapan untuk konfrontasi baharu dengan Iran — laporan

    Israel telah melengkapkan persiapan bagi konfrontasi ketenteraan baharu dengan Iran, sementara ketua Perintah Pusat tentera AS, Brad Cooper, telah mengemukakan beberapa pilihan kepada Presiden Donald Trump untuk memulakan semula serangan, lapor akhbar Yedioth Ahronoth pada Sabtu, menurut portal Anadolu.

    Laporan itu, menurut Anadolu, menyatakan bahawa tentera Israel telah memuktamadkan persiapan pertahanan dan serangan mereka bagi kemungkinan tercetusnya semula permusuhan, namun keputusan untuk kembali berperang kekal dengan Trump, ketika rundingan antara Washington dan Tehran masih diteruskan.

    Memetik sumber politik yang tidak dinamakan, laporan itu menurut Anadolu, menyatakan bahawa Israel semakin menghampiri satu lagi pusingan pertempuran dengan Iran. Pemimpin politik dan tentera Israel bagaimanapun tidak mempunyai kuasa atas keputusan untuk memulakan konfrontasi itu; ia bergantung kepada sama ada Trump memilih untuk mengusahakan perjanjian dengan Tehran atau menyambung semula serangan dengan penyelarasan bersama Israel.

    Persiapan yang dibuat melangkaui perancangan, Anadolu memetik laporan itu.

    Tentera udara Israel telah melakukan penerbangan membabitkan berpuluh-puluh jet pejuang dan pesawat pengisi minyak di ruang udara Syria dan Iraq menuju ke sempadan Iran, sebagai latihan untuk laluan serangan yang mungkin digunakan, lapor Anadolu — akhbar itu menyatakan latihan itu dijalankan lebih daripada sekali.

    Cooper telah membentangkan pilihan-pilihan ketenteraan kepada Trump dalam satu mesyuarat yang turut dihadiri oleh Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth dan Pengerusi Ketua Staf Bersama Dan Caine, lapor Anadolu memetik Yedioth Ahronoth, menambah bahawa tiada keputusan muktamad dibuat berhubung penyambungan semula pertempuran.

    Memetik laporan media, akhbar itu menurut Anadolu, menyatakan 10 pesawat pengangkut tentera AS telah tiba di pangkalan udara Israel sejak beberapa hari kebelakangan ini, sebagai sebahagian daripada operasi pengangkutan udara untuk menghantar peralatan ketenteraan ke rantau itu.

  • 3 mayat ditemui dalam kebakaran bangunan di tengah Perancis

    Tiga mayat ditemui pada pagi Sabtu di celah runtuhan sebuah bangunan di Clermont-Ferrand, sebuah bandar di tengah Perancis, susulan kebakaran yang berlaku pada malam antara Khamis dan Jumaat, lapor Xinhua memetik media tempatan.

    Penghuni keempat bangunan itu masih hilang, lapor Xinhua memetik perkhidmatan berita Franceinfo, memetik kenyataan bomba tempatan.

    Pejabat pendakwa raya Clermont-Ferrand berkata penemuan awal penyiasat menunjukkan “kebakaran itu mungkin berpunca daripada perbuatan jenayah.”
    Seorang lelaki berusia 21 tahun telah ditangkap pada pagi Jumaat dan kini berada dalam tahanan polis. Siasatan sedang dijalankan.

  • Kemalangan jalan raya ragut 10 nyawa di selatan Kaherah

    Sekurang-kurangnya 10 orang maut dan 24 yang lain cedera apabila sebuah lori berlanggar dengan sebuah bas mini di lebuh raya di Kegabenoran Giza, selatan ibu kota Mesir, pada Sabtu, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan dan Populasi, lapor berita Xinhua.

    Siasatan awal menunjukkan kelajuan berlebihan dalam keadaan cuaca berkabus mungkin menjadi punca kemalangan itu, lapor Xinhua memetik media tempatan.

    Kemalangan jalan raya di Mesir meragut ribuan nyawa setiap tahun, sering kali disebabkan oleh pemanduan laju, pelanggaran peraturan lalu lintas, dan keadaan jalan raya yang kurang baik.

  • 1 maut, 6 cedera tembakan di pusat beli-belah California

    Seorang maut manakala enam yang lain cedera dalam satu kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Fairfield, California pada Jumaat, lapor berita Xinhua memetik polis tempatan.

    Polis Fairfield berkata anggota mereka bertindak balas terhadap satu kejadian tembakan di kedai Spirit Halloween yang terletak di dalam Solano Town Center pada 8:30 malam waktu tempatan (0330 GMT Sabtu).

    Seorang mangsa meninggal dunia akibat kecederaan tembakan, sementara enam yang lain dikejarkan ke hospital tempatan dengan sekurang-kurangnya tiga daripadanya berada dalam keadaan kritikal, menurut kenyataan polis.

    Detektif sedang menyoal saksi dan berusaha mengenal pasti suspek. Polis memaklumkan bahawa lokasi kejadian masih dalam siasatan aktif dan menggesa sesiapa mempunyai maklumat supaya menghubungi pihak polis.

  • 3 tentera Uruguay maut

    Tiga anggota tentera Uruguay maut semasa kursus menyelam taktikal di Sungai Uruguay, barat daya Uruguay, menurut kenyataan Tentera Laut Kebangsaan pada Jumaat, lapor berita Xinhua.

    Kejadian berlaku pada malam Khamis dekat sebuah jeti di Fray Bentos, ibu kota Jabatan Rio Negro.

    Tentera Laut dilapor berkata, insiden itu berlaku pada malam ketiga latihan renang dalam Kursus Penyelam Taktikal, yang mana peserta bergerak menyusuri sungai sambil diikat pada tali, diiringi oleh bot dan jurulatih.

    Susulan operasi mencari dan menyelamat, mayat dua anggota tentera ditemui pada awal pagi Jumaat, manakala mangsa ketiga ditemui kemudian pada pagi yang sama.

    Seorang lagi anggota tentera diselamatkan dalam keadaan hidup dan dibawa ke pusat perubatan untuk mendapatkan rawatan.

  • Enam maut nahas helikopter semasa perjalanan dari tapak suci di India

    Nahas helikopter di negeri Uttarakhand, utara India, mengorbankan semua enam orang yang berada di dalamnya, termasuk juruterbang, menurut kenyataan pegawai pada Jumaat, lapor berita RT.

    Helikopter milik Trans Bharat Aviation Private Limited, dengan tanda panggilan VT-HCX, dalam perjalanan dari Badrinath di daerah Chamoli menuju ke Dehradun apabila hubungan dengannya terputus pada kira-kira pukul 1:15 petang waktu standard India (IST), lapor RT.

    Helikopter itu terhempas di lereng bukit, kata pegawai tempatan.

    “Kami telah menerima berita malang mengenai nahas helikopter dekat kampung Chayee, dekat Joshimath,” Ketua Menteri Pushkar Singh Dhami mengatakan di X, menurut RT, Joshimath adalah pekan pergunungan yang dianggap suci di kawasan Garhwal Himalaya.

    Tentera India dan pasukan penyelamat tempatan telah dikerahkan ke lokasi nahas, lapor RT, pentadbiran daerah Chamoli kemudian mengesahkan kematian semua individu yang berada di dalam helikopter terbabit.

    Lima penumpang di dalam helikopter itu dari negeri Karnataka di selatan India. Juruterbangnya, Kapten Himanshu Sabharwal, dari Delhi, lapor RT memetik laporan.

    Hujan lebat dan jarak penglihatan yang terhad dilaporkan berlaku di kawasan terbabit, yang kini diletakkan di bawah amaran “jingga” oleh Jabatan Meteorologi India (IMD). IMD meramalkan ribut petir, hujan batu, dan angin kencang yang disertai hujan lebat di banyak kawasan di negeri pergunungan Himalaya yang bersempadan dengan China dan Nepal itu.

    Tapak ziarah Badrinath, lokasi helikopter terbabit berlepas, adalah sebahagian daripada laluan ziarah ‘Char Dham’ bersama-sama dengan Kedarnath, Gangotri, dan Yamunotri. Para peziarah sering menggunakan perkhidmatan helikopter untuk mengelakkan perjalanan mendaki gunung yang sukar di sepanjang laluan.

  • 4 maut nahas helikopter EUFOR dekat Brcko

    Seorang lagi individu yang cedera dalam nahas helikopter EUFOR di pekan Gorice, dekat Brcko, meninggal dunia, lapor berita Klix, ini menjadikan angka maut dalam kemalangan itu kepada empat orang.

    Helikopter terbabit dilapor terhempas pada kira-kira jam 4 petang Khamis.
    Klix melaporkan, menurut EUFOR, kejadian itu berlaku semasa operasi rutin di kawasan Brcko. Tiga orang maut di tempat kejadian.

    Sementara itu menurut Klix, Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto, mengumumkan nama empat anggota tentera Itali yang terkorban dalam nahas helikopter EUFOR dekat Brcko. Beliau memaklumkan bahawa beliau akan berlepas ke BiH bersama Ketua Staf Am Pertahanan untuk melawat 11 orang yang cedera, yang kini dirawat di hospital di Brcko dan Tuzla.

    Dalam pengumuman itu, Crosetto menyatakan bahawa nahas itu telah mengorbankan Sarjan Penerbangan Tentera Simone Ruggia, Sarjan Penerbangan Tentera Claudio Marchesi, Leftenan daripada Kor Sukarelawan Tentera Palang Merah Itali Franco Adriano Zecchillo, serta Sarjan Laura Procacci.

    “Selama berjam-jam, bersama-sama dengan Ketua Staf Am Pertahanan, pihak Tentera Darat, dan Perintah Operasi Bersama, saya telah memantau keadaan 11 orang yang cedera yang dirawat di hospital di Brčko dan Tuzla; kami juga telah menghantar anggota perubatan tentera Itali ke sana untuk memantau rakan-rakan kita dengan rapi,” kata Crosetto.

  • 3 maut dalam nahas helikopter EUFOR di Bosnia Herzegovina

    Sebuah helikopter milik Pasukan Kesatuan Eropah di Bosnia dan Herzegovina (EUFOR) terhempas dekat bandar Brcko, mengakibatkan tiga orang maut, menurut berita Tass memetik laporan portal berita Klix.

    Menurut laporan itu, tiada orang awam yang cedera dan tiada infrastruktur mengalami kerosakan.

  • Angka maut nahas tren di Sepanyol meningkat kepada 74 orang

    Angka maut akibat perlanggaran tren berkelajuan tinggi pada Rabu di wilayah Toledo, Sepanyol, meningkat kepada 74 orang, menurut laporan awal diterbitkan pada Khamis oleh pihak berkuasa bebas penyiasatan kemalangan pengangkutan Sepanyol, AITAT, menurut berita Xinhua.

    Pihak berkuasa itu berkata, angka maut masih bersifat sementara, memandangkan jumlah mangsa cedera yang “sangat tinggi” masih belum dapat disahkan sepenuhnya.

    Xinhua memetik agensi berita Sepanyol, EFE, ini adalah kali pertama pihak berkuasa itu melaporkan secara rasmi angka maut nahas terbabit, memandangkan angka sebelum ini telah dikeluarkan oleh pegawai-pegawai yang berada di lokasi nahas.

  • Letupan kuat kedengaran di ibu kota Arab Saudi

    Letupan kuat kedengaran di ibu kota Arab Saudi, Riyadh, pada petang Khamis, lapor berita Xinhua, penduduk tempatan menerima amaran melalui aplikasi mudah alih.