Berita

  • AS beri amaran kepada warganya mengenai potensi serangan Houthi, gangguan perjalanan di Arab Saudi

    Misi AS di Arab Saudi mengeluarkan amaran keselamatan pada Isnin kepada warganegara Amerika susulan permusuhan membabitkan kumpulan Houthi Yaman dan Arab Saudi, lapor Anadolu.

    “Houthi disokong Iran telah terlibat dalam permusuhan terhadap Arab Saudi, termasuk serangan ke atas lapangan terbang awam dan infrastruktur kritikal lain, yang mengakibatkan korban dalam kalangan orang awam serta gangguan perjalanan yang teruk,” kata misi itu dalam satu kenyataan nasihat.

    Misi itu memberi amaran, situasi boleh memuncak dengan pantas melangkaui kawasan terbabit, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai potensi ancaman keselamatan dan gangguan terhadap perjalanan udara komersial.

    “Warganegara AS harus peka terhadap kemungkinan serangan ke atas lapangan terbang, penutupan ruang udara, pembatalan penerbangan, dan gangguan perjalanan. Sila berhati-hati sepenuhnya jika anda memilih untuk menggunakan lapangan terbang di Arab Saudi,” katanya.

    Kenyataan nasihat itu dikeluarkan di tengah-tengah permusuhan yang semakin memuncak antara kumpulan Houthi dengan gabungan pimpinan Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yaman diiktiraf di peringkat antarabangsa.

    Arab Saudi telah mengetuai gabungan ketenteraan menentang Houthi sejak Mac 2015, selepas kumpulan itu menawan ibu kota Yaman, Sanaa, dan beberapa bahagian lain di negara itu pada 2014, lapor Anadolu.

  • Semua 69 mangsa nahas tren di Sepanyol dikenal pasti

    Semua 69 mangsa yang maut dalam perlanggaran tren berkelajuan tinggi di Urda, tengah Sepanyol, minggu lalu dikenal pasti, manakala 29 orang yang cedera masih dirawat di hospital, menurut pihak berkuasa pada Isnin, lapor berita Xinhua.

    Pusat Data Bersepadu (CID) Sepanyol mengesahkan angka maut kekal seramai 69 orang, membabitkan 54 warga Sepanyol dan 15 warga asing. Semua mangsa adalah golongan dewasa, merangkumi 40 lelaki dan 29 wanita.

    Mangsa warga asing membabitkan empat rakyat Amerika, dua rakyat Australia, dua rakyat Jepun, serta masing-masing seorang dari Argentina, Kanada, Republik Czech, Perancis, Mexico, Portugal, dan Tunisia.

    Institut Perubatan Undang-undang dan Sains Forensik Toledo dan Ciudad Real telah melengkapkan proses pengecaman itu. Daripada 69 mangsa, 56 orang dikenal pasti melalui analisis cap jari dijalankan oleh Perkhidmatan Kriminalistik Pengawal Awam, manakala 13 orang lagi dikenal pasti melalui ujian DNA oleh Institut Toksikologi Kebangsaan.

  • 9 dilapor maut dalam nahas pesawat di Florida, AS

    Sebuah pesawat yang membawa sembilan orang terhempas di kejiranan kediaman di Florida pada Ahad, mengorbankan semua individu di dalamnya, kata Setiausaha Pengangkutan Amerika Syarikat (AS), Sean Duffy, menurut berita Xinhua.

    Pada 12:50 tengah hari Waktu Timur, sebuah pesawat Learjet 60 terhempas di kawasan kejiranan dekat Cresthaven, Florida, kata Duffy dalam satu hantaran di X.

    “Semua sembilan orang di dalam pesawat itu maut.”

    Pesawat terbabit berlepas dari Austin, Texas dan dalam perjalanan menuju ke Bahamas, katanya.

  • 2 maut dalam kemalangan bas-kereta di timur Slovakia

    Dua orang maut dalam perlanggaran antara sebuah bas dan sebuah kereta di timur Slovakia pada Ahad, menurut Pusat Operasi Kor Bomba dan Penyelamat Slovakia di Wilayah Presov, lapor berita Xinhua.

    Polis dilapor berkata, pemandu bas berusia 34 tahun telah dibawa ke hospital selepas perlanggaran itu. Dia telah menjalani ujian saringan alkohol melalui hembusan nafas, dan keputusannya adalah negatif.

    Terdapat tiga individu di dalam kereta terbabit, termasuk seorang lelaki berusia 72 tahun dan seorang wanita berusia 69 tahun; kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Penumpang ketiga ialah seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang parah di bahagian kepala. Kanak-kanak itu telah dibawa ke hospital menggunakan pengangkutan udara, lapor Xinhua memetik polis.

  • Houthi lapor serangan udara ke atas pelabuhan minyak di Laut Merah dan kemudahan telekomunikasi di Yaman

    Kumpulan Houthi Yaman berkata pada petang Ahad bahawa satu siri serangan udara menyasarkan pelabuhan Ras Isa, sebuah terminal minyak penting di pesisir Laut Merah di wilayah barat di Hodeidah, termasuk sebuah dermaga pelabuhan dan sebuah kapal komersial yang sedang berlabuh di situ, lapor berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, saluran televisyen al-Masirah dikendalikan Houthi menyifatkan serangan ke atas pelabuhan Ras Isa itu sebagai “pencerobohan Arab Saudi”.
    Saluran itu menurut Xinhua, tidak memberikan maklumat segera mengenai korban jiwa atau tahap kerosakan pada pelabuhan ataupun kapal terbabit.

    Saluran itu lapor Xinhua, kemudian melaporkan satu lagi serangan udara ke atas kemudahan telekomunikasi di tenggara bandar Saada—ibu kota wilayah Saada yang merupakan kubu kuat Houthi di utara—dan mendakwa serangan itu dilakukan oleh pesawat tempur Arab Saudi. Tiada laporan mengenai korban jiwa buat masa ini.

    Menurut Xinhua, dalam perkembangan berasingan, jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea, berkata dalam satu kenyataan yang dimuat naik di X pada Ahad bahawa 75 serangan udara dan peluru berpandu telah melanda wilayah Saada, Taiz, Amran, Ibb, Dhamar, Lahj, Hodeidah, dan Al-Jawf dalam tempoh 24 jam lalu.

    Dia mendakwa serangan itu menyebabkan korban dalam kalangan orang awam, menjadikan jumlah keseluruhan serangan udara dan peluru berpandu sejak peningkatan ketegangan terkini bermula kepada 3,830, lapor Xinhua, angka ini tidak dapat disahkan secara bebas.

    Turut dilaporkan pada Ahad, gabungan pimpinan Arab Saudi mengumumkan bahawa mereka telah memintas dan memusnahkan sebuah dron serta satu peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh pihak Houthi ke arah wilayah selatan Arab Saudi.

  • 8 rakyat Palestin, termasuk polis dan kanak-kanak, maut dalam serangan udara Israel di Gaza

    Sekurang-kurangnya lapan rakyat Palestin, termasuk lima polis, maut pada Ahad dalam dua serangan udara Israel di Jalur Gaza, menurut berita Xinhua memetik sumber tempatan dan perubatan Palestin.

    Sumber tempatan dilapor berkata, sebuah dron Israel melancarkan peluru berpandu ke arah sekumpulan rakyat Palestin dan anggota polis di kawasan al-Mawasi, barat Khan Younis di selatan Gaza.

    Kompleks Perubatan Nasser dilapor berkata, sekurang-kurangnya lima orang maut dan beberapa yang lain cedera, dengan sesetengahnya parah, dalam serangan itu.

    Menurut Xinhua, pihak berkuasa dalaman di Gaza yang ditadbir oleh Hamas mengesahkan lima anggota Direktorat Am Polis maut ketika “menjalankan tugas rutin” di al-Mawasi.

    Menurut pihak berkuasa itu, lapot Xinhua, serangan Israel telah mengorbankan 75 polis sejak gencatan senjata antara Hamas dan Israel berkuat kuasa pada Oktober 2025.

    Dalam satu kejadian berasingan, tiga rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak, maut dan enam yang lain cedera, dengan sesetengahnya kritikal, dalam serangan udara Israel yang menyasarkan satu perhimpunan di kawasan kejiranan al-Rimal, barat bandar Gaza, lapor Xinhua memetik sumber perubatan.

    Menurut Xinhua, pihak berkuasa kesihatan Gaza melaporkan 1,580 rakyat Palestin maut dan 5,711 yang lain cedera di wilayah itu sejak gencatan senjata berkuat kuasa. Ini menjadikan jumlah kumulatif sejak Oktober 2023 mencecah 74,594 kematian dan 175,834 kecederaan.

  • Lima remaja ditikam di parti Halloween di Britain

    Lima remaja lelaki cedera parah selepas ditikam dalam satu parti Halloween di Hampshire, Britain, menurut berita Xinhua memetik laporan Sky News pada Ahad.

    Polis Hampshire telah dipanggil susulan laporan mengenai kejadian di Chandler’s Ford, sejurus selepas jam 10:30 malam pada Sabtu, di sebuah lokasi di Park Road.

    Kelima-lima remaja lelaki terbabit—tiga berusia 16 tahun dan dua berusia 17 tahun—telah dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan parah.

  • 1 maut, 8 cedera dalam tembakan selepas perlawanan bola sepak di Birmingham, AS

    Seorang maut manakala lapan yang lain cedera pada Sabtu dalam satu kejadian tembakan susulan perlawanan bola sepak di Birmingham, negeri Alabama, Amerika Syarikat (AS), menurut pihak berkuasa tempatan, berita Xinhua melaporkan.

    Jabatan Polis Birmingham berkata seorang individu telah ditahan berhubung kejadian tembakan itu, yang berlaku di luar Legion Field sejurus selepas perlawanan bola sepak “Magic City Classic”.

    Tembakan tercetus sejurus selepas 7:50 malam waktu tempatan (0050 GMT pada Ahad) di blok 400 Graymont Avenue West, kata Pegawai Darrell Freeman dalam satu sidang akhbar.

    “Anggota polis bertindak balas dan mendapati beberapa mangsa tembakan.”

    Freeman berkata, sembilan orang ditembak, dengan seorang daripadanya disahkan meninggal dunia. Seorang daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal, manakala tujuh yang lain berada dalam keadaan stabil, tambahnya.

    Menurut Freeman, pihak polis menemui beberapa laras senjata api di lokasi kejadian, dan seorang individu telah ditahan serta dibawa ke ibu pejabat polis untuk disoal siasat.

  • 1 maut, 2 hilang akibat hujan lebat di Pulau Santa Cruz, Ecuador

    Hujan lebat menyebabkan seorang maut, dua orang hilang, dan kira-kira 80 orang dipindahkan di Pulau Santa Cruz, Ecuador, yang terletak dalam kepulauan Galapagos, mendorong pihak berkuasa untuk mengisytiharkan darurat, lapor berita Anadolu memetik saluran media Ecuavisa.

    Kematian dan kehilangan itu dilaporkan masing-masing berlaku di sektor Bellavista dan Divino Nino, menurut laporan kecemasan itu.

    Hujan lebat mencetuskan banjir di beberapa kawasan, termasuk Bellavista dan Santa Rosa di kawasan tanah tinggi tengah pulau itu, serta Miramar, Aguacatal, dan La Cascada di kawasan pesisir pantai. Sebuah rumah runtuh di Miramar, dan talian bekalan elektrik turut mengalami kerosakan.

    Pihak berkuasa memindahkan kira-kira 80 orang ke Koliseum Sukan Santa Cruz, yang telah dijadikan pusat perlindungan sementara.

    Lapangan terbang di Pulau Baltra telah menggantung operasi komersial, namun masih dibuka untuk penerbangan kecemasan dan pengangkutan bantuan kemanusiaan.

    Gangguan jalan raya turut dilaporkan, terutama di sepanjang laluan yang menghubungkan Puerto Ayora dan Bellavista. Pihak berkuasa menasihatkan penduduk agar mengelakkan perjalanan tidak perlu.

  • Gempa bumi 6.1 magnitud landa luar pesisir wilayah Mie, Jepun

    Agensi Meteorologi Jepun (JMA) memaklumkan satu gempa bumi dengan magnitud awal 6.1 melanda kawasan luar pesisir pantai tenggara wilayah Mie, di tengah Jepun, pada pagi Ahad, lapor berita Xinhua.

    Menurut agensi kaji cuaca itu, gegaran berlaku pada kira-kira jam 7:15 pagi waktu tempatan pada kedalaman kira-kira 350 km, dengan mencatatkan skala intensiti seismik 3 (berdasarkan skala 0 hingga 7 Jepun) di beberapa bahagian wilayah Fukushima.

    Pusat gempa terletak pada latitud 33.7 darjah utara dan longitud 137.1 darjah timur.

    Tiada amaran tsunami dikeluarkan.