Berita

  • Serangan udara dekat Sanaa, Yaman, 11 maut

    Sekurang-kurangnya 11 orang maut pada Sabtu dalam serangan udara ke atas sebuah kampung dekat ibu kota Yaman, Sanaa, menurut berita Xinhua memetik laporan daripada TV al-Masirah, dikendalikan oleh Houthi, menyalahkan pesawat perang Arab Saudi terhadap serangan terbabit, di tengah-tengah permusuhan yang semakin memuncak di negara dilanda perang itu.

    Menurut saluran itu, lapor Xinhua, serangan udara terbabit memusnahkan lima rumah kediaman di kampung Ash Sharyah, daerah Bani Hushaysh, di sebelah timur Sanaa, dengan wanita dan kanak-kanak antara yang maut.

    Ketua pejabat kesihatan daerah itu memberitahu al-Masirah, pasukan penyelamat telah menemui 11 mayat daripada runtuhan bangunan, menambah bahawa angka maut di peringkat awal memandangkan operasi mencari dan menyelamat sedang diteruskan.

    Saluran itu turut melaporkan pesawat perang Arab Saudi melancarkan dua lagi serangan udara yang menyasarkan anggota penyelamat, selain melanda jalan raya menuju ke kampung terbabit, sementara pesawat tentera terus terbang di ruang udara kawasan berkenaan.

    Menurut Xinhua, seorang penduduk tempatan memberitahunya bahawa pesawat perang telah berlegar-legar di ruang udara Sanaa pada awal hari, sebelum beberapa siri serangan udara menggegarkan ibu kota itu.

    Serangan ini berlaku sehari selepas satu serangan ke atas sebuah pasar yang sesak di wilayah Taiz, barat daya Yaman, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang dan mencederakan lapan yang lain, dengan Houthi dan pihak berkuasa kerajaan saling menuduh antara satu sama lain berhubung pihak bertanggungjawab.

  • Rusia serang kemudahan industri ketenteraan, tenaga Ukraine

    Tentera Rusia berkata pada Sabtu, ia melancarkan serangan besar-besaran semalaman terhadap kemudahan infrastruktur industri ketenteraan, tenaga dan pengangkutan di ibu kota Ukraine, Kyiv serta rantau sekitarnya, menurut berita Xinhua.

    Senjata berpandu berketepatan dilancarkan dari darat serta dron serangan digunakan dalam serangan itu, lapor Xinhua memetik Kementerian Pertahanan Rusia yang berkata dalam satu kenyataan di media sosial.

    Jambatan Utara (Northern Bridge, yang mana kementerian itu berkata digunakan untuk mengangkut senjata, peralatan ketenteraan dan kenderaan tujuan khas bagi angkatan tentera Ukraine, telah diserang.

    Sebuah kemudahan perindustrian yang dikenali sebagai Meridian, yang mengeluarkan peluru berpandu taktikal operasi dan jelajah Flamingo, turut diserang, ia dilapor berkata.

    Di rantau Kiev, sasaran termasuk loji janakuasa terma Trypilska yang mempunyai kapasiti terpasang sebanyak 1,800 megawatt serta pencawang elektrik 750-kilovolt Kiev, menurut kementerian itu, lapor Xinhua.

    Ia juga melaporkan serangan terhadap sebuah kemudahan pengeluaran peluru, bahan letupan dan serbuk letupan di Brovary, yang dikenali sebagai Loji Metalurgi Serbuk (Powder Metallurgy Plant), yang menghasilkan komponen untuk bahan dorong roket digunakan dalam peluru berpandu taktikal operasi.

    Di rantau Zhytomyr, sebuah pencawang elektrik 330-kilovolt yang membekalkan tenaga elektrik kepada perusahaan industri ketenteraan Ukraine turut diserang, kata kementerian itu, menurut Xinhua.

    Selain itu, sebuah kapal kargo yang membawa peralatan ketenteraan dan barangan kegunaan dua fungsi ke Ukraine telah diserang di Laut Hitam, di tenggara Odesa, lapor Xinhua memetik kenyataan itu.

  • Trump kata AS ‘mungkin pihak yang menduduki’ di Iran

    Presiden AS Donald Trump pada Jumaat membayangkan bahawa Washington “mungkin pihak yang menduduki” di Iran, dengan mendakwa bahawa ia mengawal Selat Hormuz dan mengeluarkan jumlah minyak yang memecah rekod dari laluan air strategik itu, menurut berita Anadolu.

    Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan di sebuah kemudahan NASA di negeri Florida, Trump membandingkan perang AS dengan Iran dengan konflik Rusia-Ukraine, yang dia dakwa telah mengorbankan 25,000 nyawa pada Oktober.

    “Itu dipanggil perang,” kata Trump, merujuk kepada pertempuran antara Moscow dan Kyiv.

    Dia berhujah bahawa perang dengan Iran, yang kini memasuki bulan kesembilan, tidak boleh dianggap sebagai perang kerana “tiada sesiapa pun yang tercedera” sejak beberapa bulan lalu.

    “Apa yang kita lakukan mungkin sebagai pihak yang menduduki. (Kita) mungkin pihak yang menduduki,” tambahnya.

    Menurut Anadolu, Trump sekali lagi mendakwa bahawa AS mengawal Selat Hormuz, laluan kritikal bagi bekalan tenaga global.

    “Kami mengawal Selat Hormuz,” katanya.

    “Kami mengeluarkan lebih banyak minyak sekarang berbanding mana-mana masa dalam sejarah Selat Hormuz.”

    Apabila ditanya sama ada tentera AS telah melancarkan serangan yang dilaporkan dekat Pulau Qeshm di Iran pada Jumaat, Trump pada mulanya enggan membincangkannya, namun mengakui terdapat operasi ketenteraan yang terhad.

    “Saya tidak mahu bercakap mengenainya. Kami melakukan serangan kecil,” katanya.

    Dia menambah bahawa tentera Iran telah membina satu pemasangan anti-pesawat yang dimusnahkan oleh AS dalam masa beberapa minit sahaja.

    AS dan Israel mula melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran pada 28 Februari lalu.

  • AS tawarkan ganjaran sehingga $20 juta bagi maklumat mengenai program nuklear Iran

    Perintah Pusat tentera AS (CENTCOM) berkata pada Jumaat bahawa program ‘Rewards for Justice’ (Ganjaran untuk Keadilan) menawarkan sehingga $20 juta bagi maklumat mengenai program nuklear Iran, menurut berita Anadolu.

    “‘Rewards for Justice’ menawarkan ganjaran sehingga $20 juta serta kemungkinan penempatan semula bagi maklumat mengenai program nuklear Iran,” Anadolu memetik CENTCOM dalam satu hantaran di X.

    Ia menyatakan bahawa maklumat itu boleh merangkumi kemudahan, peralatan, dan kakitangan yang terlibat termasuk mereka dalam komuniti saintifik serta pergerakan mereka.

    CENTCOM turut berkongsi pautan ke laman web ‘Rewards for Justice’ bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat.

  • Tentera Iran beri amaran kemungkinan serangan baharu oleh AS walaupun terdapat laporan pengunduran aset tentera laut

    Iran memberi amaran pada Jumaat bahawa Amerika Syarikat (AS) mungkin melancarkan satu lagi serangan ketenteraan terhadap negara itu, walaupun terdapat laporan mengenai pengunduran vesel tentera laut Amerika dari rantau itu, menurut berita Anadolu memetik laporan agensi berita ISNA.

    Jurucakap tentera, Brigedier Jeneral Mohammad Akraminia, berkata kemungkinan tindakan ketenteraan baharu oleh AS tidak boleh diketepikan, sambil membayangkan bahawa Washington mungkin mengambil langkah serangan lain disebabkan oleh kesukaran politik dihadapinya.

    Dia memberi amaran bahawa sebarang serangan baharu oleh AS akan berdepan dengan tindak balas tegas daripada angkatan tentera Iran.

    Memetik arahan daripada Pemimpin Tertinggi, Akraminia berkata tindak balas ketenteraan terhadap sebarang serangan mestilah dilakukan dengan segera, berkesan, dan tanpa sebarang sekatan geografi.

    Dia berkata, pangkalan serta kepentingan AS di luar Asia Barat dan rantau Teluk berada dalam jangkauan peluru berpandu dan dron Iran, dan boleh disasarkan sekiranya berlaku serangan lain.

    Jurucakap itu berkata, Selat Hormuz kekal di bawah kawalan strategik Iran dan tidak akan dibuka semula sehingga syarat ditetapkan dipenuhi.

    Dia menegaskan angkatan tentera Iran kekal bersiap sedia sepenuhnya untuk mempertahankan negara.

    AS dan Israel mula melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran pada 28 Februari lalu. Satu gencatan senjata dicapai pada April, diikuti dengan memorandum pada Jun bagi memuktamadkan perjanjian damai, namun usaha itu tidak membuahkan hasil dan konflik masih belum selesai.

  • Perkhidmatan Rahsia AS tahan seorang lelaki bersenjata dekat Rumah Putih didakwa ancam bunuh Trump

    Seorang warga Venezuela ditahan dekat Rumah Putih selepas didakwa mengancam untuk membunuh Presiden AS, Donald Trump, menurut berita Anadolu.

    Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) berkata pada Jumaat bahawa pegawai Perkhidmatan Rahsia telah menghampiri lelaki terbabit pada petang Khamis, setelah menyedari dia berkelakuan mencurigakan di dalam sebuah kereta yang diletakkan di Washington, DC.

    Suspek memberitahu pegawai terbabit bahawa suara-suara di dalam kepalanya telah mengarahkannya untuk pergi ke ibu kota itu dan membunuh Trump.

    Pegawai memeriksa kenderaan terbabit, yang dilaporkan sebagai kenderaan curi, dan menemui tiga senjata api termasuk selaras raifal jenis AR-15 dan dua pistol bersama berpuluh-puluh butir peluru.

    DHS menyifatkan suspek, Ronny Yordrix Guanipa Chrinos, sebagai seorang pendatang tanpa izin, lapor Anadolu.

  • Diplomat tertinggi AS tepis laporan mengenai kemungkinan letak jawatan

    Marco Rubio, Setiausaha Negara dan penasihat keselamatan negara AS, menepis laporan media mengenai rancangannya untuk meletakkan jawatan bagi membuat persiapan bertanding sebagai presiden dalam pilihan raya akan datang, lapor berita Tass.

    Menurut Tass, dalam satu temu bual bersama The New York Times, Rubio berkata dia sememangnya berhasrat untuk berkhidmat di bawah Presiden Donald Trump sehingga tamat tempoh penggalnya.

    “Saya sukakan tugas yang saya lakukan ini,” kata Rubio. “Malah, saya selalu ketawa apabila mereka mendakwa dia (saya) akan meninggalkan jawatan. Saya tertanya-tanya, ‘Yang mana satu?’,” katanya.

    Menjawab laporan yang mendakwa dia sedang mempertimbangkan untuk berundur, Rubio berkata, “sejujurnya, saya tidak tahu dari mana datangnya dakwaan sebegini”.

  • Kadar perkahwinan di China pada suku ketiga merosot ke paras terendah dalam tempoh 18 tahun

    Kadar perkahwinan di China bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini menjunam ke paras terendah dalam tempoh 18 tahun, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai penurunan kadar kelahiran dan tekanan demografi di negara yang mana kelahiran anak masih berkait rapat dengan ikatan perkahwinan, lapor berita Reuters.

    Menurut Reuters, data daripada Kementerian Hal Ehwal Awam yang diterbitkan minggu ini, menunjukkan sebanyak 4.65 juta pasangan berkahwin dari Januari hingga akhir September, manakala 2.08 juta pasangan pula bercerai.

    Angka itu merupakan yang terendah dalam tempoh 18 tahun, menurut Reuters memetik saluran berita tempatan, Yicai, yang melaporkan pada Jumaat.

    Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa China telah melaksanakan pelbagai langkah untuk menggalakkan perkahwinan dan kelahiran anak, termasuk pemberian subsidi keluarga, sokongan penjagaan kanak-kanak, serta pengurangan kos perubatan yang berkaitan dengan kelahiran.

    Mereka juga telah berjanji untuk menyepadukan pembangunan belia ke dalam perancangan bandar, perumahan, penjagaan kesihatan, pendidikan, dan perkhidmatan awam, sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menjadikan kehidupan di bandar lebih kondusif bagi golongan muda, kanak-kanak dan keluarga.

    Walaupun terdapat usaha-usaha ini, China kini menanggung bilangan warga emas yang lebih ramai berbanding kanak-kanak, dengan nisbah tanggungan warga emas telah melebihi nisbah tanggungan kanak-kanak.

    Populasi China mencatatkan penurunan bagi tahun keempat berturut-turut pada 2025, dengan kadar kelahiran jatuh ke paras terendah dalam sejarah, sekali gus mendorong pakar demografi memberi amaran mengenai kemungkinan penurunan yang lebih ketara pada masa depan.

    Bilangan wanita di China yang berada dalam usia reproduktif—yang ditakrifkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai lingkungan umur 15 hingga 49 tahun—dijangka merosot lebih daripada dua pertiga kepada kurang daripada 100 juta menjelang akhir abad ini.

  • Pakatan diketuai Arab Saudi dakwa pintas peluru berpandu balistik menuju ke wilayah Madinah

    Pakatan diketuai Arab Saudi berkata pada Khamis bahawa sistem pertahanan udaranya memintas dan memusnahkan satu peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh kumpulan Houthi dari Yaman ke arah wilayah Madinah di barat Arab Saudi, lapor berita Anadolu.

    Jurucakap pakatan itu, Turki al-Maliki, mengumumkan pemintasan terbabit menerusi satu kenyataan di X, lapor Anadolu.

    Bagaimanapun, pakatan itu dilaporkan tidak memberikan perincian mengenai sasaran peluru berpandu terbabit atau sama ada pemintasan itu menyebabkan sebarang kerosakan.

  • Pentagon bekal sejumlah besar dron, teknologi anti-dron kepada tentera AS di Timur Tengah

    Pentagon berkata pada Rabu, ia membekalkan lebih daripada 25,000 sistem tanpa pemandu dan keupayaan anti-dron kepada Perintah Pusat (CENTCOM) tentera AS pada tahun ini, susulan pelaburan bernilai $782 juta, menurut berita Anadolu.

    Penghantaran besar-besaran ini merangkumi lebih daripada 1,300 kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) jenis serangan sehala, lebih 100 kenderaan tanpa pemandu di permukaan dan bawah air, serta lebih 24,000 sistem anti-UAV yang direka untuk melindungi tentera AS daripada serangan dron pihak musuh.

    Keupayaan ini dibekalkan melalui “Direct Reporting Portfolio Manager for Unmanned Systems” (DRPM-UxS), dengan operasi anti-dron disokong oleh “Joint Interagency Task Force 401”.

    Pentagon berkata, inisiatif ini mencerminkan peralihan ke arah perolehan pertahanan yang lebih pantas serta pengeluaran besar-besaran sistem tanpa pemandu yang mampu milik.
    Langkah ini memberikan komander keupayaan operasi tambahan, di samping mengurangkan pergantungan kepada senjata tradisional yang mahal.

    “Di bawah arahan Setiausaha (Pete) Hegseth, kami bergerak mengikut kepantasan peperangan moden bagi melengkapkan pasukan kami dengan aset yang berkesan, mampu milik, dan tersedia dalam jumlah yang besar,” kata Owen West, Ketua Pegawai Eksekutif “Project Agincourt” dan DRPM-UxS.

    Usaha ini juga menyokong rancangan untuk menubuhkan “Autonomous Warfare Command” (AUTOWARCOM)—sebuah perintah tempur bertaraf empat bintang yang dicadangkan, dijangka mula beroperasi menjelang 1 Oktober 2027.

    Pentagon berkata, ia akan meneruskan penghantaran kepada CENTCOM, sambil memperluas penempatan sistem tanpa pemandu dan autonomi kepada tentera AS di rantau Indo-Pasifik, Eropah, dan seluruh Angkatan Bersama.