Berita

  • Rakyat Iran tidak akan lupa tragedi sekolah di Minab

    Misi Tetap Republik Islam Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa Tehran tidak akan sekali-kali melupakan peristiwa pembunuhan 168 pelajar dan guru dalam satu serangan peluru berpandu ke atas sebuah sekolah di bandar Minab, selatan Iran, menyeru agar penderitaan mangsa diberikan perhatian dan memori mengenai mereka terus dipelihara, lapor berita IRNA.

    Dalam satu kenyataan sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia pada Jumaat, misi itu menekankan bahawa setiap kanak-kanak mempunyai hak asasi, termasuk hak untuk mendapat perlindungan, pendidikan dan yang paling utama, hak untuk hidup serta masa depan yang penuh dengan harapan.

    Ia mengatakan, kira-kira 300 pelajar yang terselamat daripada serangan terbabit masih mengalami trauma psikologi teruk serta memerlukan rawatan perubatan dan sokongan jangka panjang.

    Peluru berpandu AS melanda Sekolah Shajareh Tayyebeh di Minab pada 28 Februari, hari pertama perang pencerobohan AS-Israel terhadap Iran, menurut IRNA, serangan itu membunuh 168 pelajar dan kakitangan sekolah.

    Secara berasingan, duta Iran ke Jerman, Majid Nili Ahmadabadi, menyifatkan kanak-kanak terbabit mangsa dua “bom kotor” iaitu senjata yang digunakan dalam serangan terbabit dan sikap berdiam diri pihak-pihak yang mendakwa mempertahankan hak asasi manusia, lapor IRNA.

    Merujuk kepada laporan oleh pertubuhan Save the Children yang menganggarkan 589 juta kanak-kanak hidup di zon konflik pada 2025, dia menyifatkan angka itu sebagai satu amaran yang membimbangkan bagi umat manusia dan menegaskan bahawa pihak bertanggungjawab atas tragedi di Minab itu mesti dihadapkan ke muka pengadilan.

  • Sekurang-kurangnya 428 kanak-kanak maut dalam dua perang menentang Iran

    Sekurang-kurangnya 428 kanak-kanak dan remaja maut dalam dua peperangan baru-baru ini menentang Iran, manakala 2,115 kanak-kanak lain mengalami kecederaan semasa konflik kedua, lapor berita IRNA memetik ketua Jawatankuasa Nasional Undang-undang Kemanusiaan Iran, Pirhossein Kolivand.

    Kolivand berkata pada Jumaat, bahawa sekurang-kurangnya 45 kanak-kanak maut semasa peperangan selama 12 hari pada Jun 2025, berdasarkan angka yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Hak Asasi Manusia Hengaw.

    Dia berkata, 383 kanak-kanak maut dan 2,115 orang cedera semasa peperangan selama 40 hari pada Februari dan Mac 2026, berdasarkan surat yang dihantar oleh ketua Ibu Pejabat Hak Asasi Manusia Badan Kehakiman kepada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

    Jumlah digabungkan itu menunjukkan angka kematian dalam kalangan kanak-kanak bagi kedua-dua konflik terbabit adalah tidak kurang daripada 428 orang, kata Kolivand, sambil menyatakan bahawa tujuh daripada kanak-kanak yang maut dalam peperangan 40 hari itu berusia kurang daripada satu tahun.

  • Pakistan lancar peluru berpandu jelajah supersonik Fatah-3

    Pakistan pada Rabu melakukan pelancaran “berjaya” sebuah peluru berpandu jelajah supersonik, kata tentera — menurut berita Anadolu.

    Peluru berpandu Fatah-3 dilengkapi dengan sistem navigasi dan pendorong canggih, serta mampu menyasarkan sasaran pada jarak jauh dengan “ketepatan dan kuasa pemusnah yang tinggi pada kelajuan supersonik”, kata Tentera Darat Pakistan dalam kenyataan.

    Menurut Anadolu, kenyataan itu menambah bahawa sistem senjata terbabit akan meningkatkan fleksibiliti operasi dan jangkauan serangan Perintah Angkatan Roket Tentera Darat Pakistan secara signifikan, sekali gus memperkukuh keupayaan pencegahan konvensional dan postur pertahanan negara secara keseluruhan.

  • 9 dilapor maut dalam serangan disyaki balas dendam di Kenya

    Sekurang-kurangnya sembilan orang terkorban dalam satu kejadian yang disyaki sebagai serangan balas dendam di kampung Janju, yang terletak di sempadan daerah Isiolo dan Garissa, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan pada Rabu.

    Komander Polis Wilayah Timur, Stephen Kipruto Chebet, berkata serangan itu berpunca daripada pertikaian terdahulu mengenai kawasan ragut di kawasan terbabit.

    Pegawai keselamatan telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi mencegah serangan balas lanjut, kata Chebet.

    “Kami mempunyai pasukan di lapangan dan setakat ini mengesahkan lapan kematian semalaman,” kata Chebet, sambil memberi amaran bahawa angka korban mungkin meningkat, lapor Xinhua, media tempatan kemudian melaporkan sembilan orang terkorban dan beberapa yang lain cedera.

    Antara yang terkorban ialah seorang ibu, bayinya berusia 14 hari serta seorang kanak-kanak berumur 10 tahun. Kejadian ini menggemparkan keluarga mangsa dan mencetuskan semula kebimbangan mengenai keselamatan di seluruh wilayah itu.

    Serangan itu berlaku di tengah-tengah siri kejadian tembakan di kawasan itu. Pada Isnin, seorang penggembala daripada etnik Borana ditembak mati di padang ragut Quri. Pada Selasa, dua lelaki ditemui mati ditembak di jalan Eldera-Modogashe di Sub-Daerah Sericho, dalam apa polis mengesyaki sebagai tindakan balas terhadap pembunuhan yang berlaku pada Isnin. Dalam satu insiden berasingan pada Selasa, seorang penggembala berusia 42 tahun ditembak mati di Kambi Samaki, Sub-Daerah Garbatulla — lapor Xinhua.

    Rentetan kejadian ini meningkatkan kebimbangan keselamatan di sepanjang koridor Eldera-Modogashe, di tengah-tengah ketakutan akan tercetusnya semula pertembungan antara komuniti.

  • Penjajah Israel dilapor bunuh wanita Palestin, cederakan 10 yang lain dalam serangan di Tebing Barat

    Penjajah Israel menembak mati seorang wanita Palestin dan mencederakan 10 orang lain dekat Jericho di Tebing Barat yang diduduki pada awal Selasa, menurut Hospital Kerajaan Jericho — berita Anadolu melaporkan.

    Dilaporkan, penjajah bersenjata mengepung rumah-rumah penduduk Palestin di kampung Al-Duyuk al-Tahta, di barat bandar itu dan melepaskan tembakan ke arah penduduk.

    Wanita terbabit berusia 60 tahun. Seorang lelaki berusia 65 tahun antara yang cedera.

  • Sebelas dilapor maut dalam kebakaran di Phuket

    Empat rumah kedai di Tambon Patong, daerah Kathu, musnah dijilat api pada awal pagi Isnin, menurut berita Bangkok Post, sebelas orang maut akibat asap dan api, manakala 16 yang lain cedera.

    Sesetengah mangsa yang terkorban dikatakan sempat menghubungi rakan atau ahli keluarga ketika mereka bertungkus-lumus berdepan dengan asap tebal dalam usaha melarikan diri daripada kebakaran itu.

    Kebakaran di Jalan Phangmuang Sai Kor itu bermula kira-kira jam 3.15 pagi apabila sebuah transformer di tepi jalan meletup, menyebabkan api menyambar pam bahan api layan diri (beroperasi dengan syiling) di depan sebuah premis penyewaan motosikal, menurut Bangkok Post.

    Menurut berita itu, lapan wanita dan tiga lelaki disahkan maut, sementara 16 orang lagi, membabitkan empat lelaki dan 12 wanita, mengalami kecederaan. Seorang daripada mangsa adalah warga Myanmar, manakala yang lain warga Thai.

  • 3 rakyat Palestin maut akibat serangan Israel di Gaza

    Tiga rakyat Palestin maut di Gaza pada Ahad, dengan dua daripadanya dalam serangan dron Israel dekat Rafah, manakala seorang lagi meninggal dunia akibat kecederaan dialami dalam serangan terdahulu, lapor berita Anadolu memetik sumber perubatan.

    Dilaporkan serangan dron itu menyasarkan kawasan dekat Masjid Muawiya di Al-Mawasi, barat laut Rafah, yang mengorbankan Ahmed Saeed Fathi Abdeen dan Moataz Hajji, serta mencederakan beberapa yang lain.

    Satu sumber daripada pihak berkuasa lintasan Gaza berkata, serangan itu menyasarkan pos Kementerian Ekonomi yang memantau trak membawa barangan masuk ke wilayah terbabit melalui lintasan Kerem Shalom.

    Abdeen, 34, seorang daripada kakitangan yang bertugas di pos berkenaan, menurut sumber itu.

    Lokasi yang sama pernah diserang pada 28 Oktober, yang mengorbankan enam kakitangan kerajaan, lapor Anadolu, pejabat media kerajaan Gaza berkata, mereka sedang memeriksa barangan yang masuk bagi memastikan keselamatan serta mencegah penyeludupan.

    Di bandar Gaza, Abdullah Mazen Hassouna, 28, meninggal dunia akibat kecederaan dialami dalam serangan Israel terdahulu terhadap sebuah khemah pelarian di Jalan Al-Jalaa, lapor Anadolu memetik satu sumber perubatan.

    Seorang lagi rakyat Palestin dilaporkan cedera akibat tembakan tentera Israel di kawasan Al-Satr al-Gharbi, Khan Younis.

  • Nahas bas di barat Iran: 12 maut, 16 cedera

    Dua belas orang terkorban manakala 16 yang lain cedera apabila sebuah bas yang membawa pekerja syarikat minyak terbalik di wilayah Ilam, barat Iran, menurut gabenor daerah Abdanan — lapor berita IRNA.

    Gabenor daerah Abdanan, Behzad Nourmohammadi, memberitahu agensi berita IRNA lewat Sabtu bahawa mereka yang cedera telah dipindahkan ke hospital di Ilam, Dehloran, Dezful, dan Abdanan untuk mendapatkan rawatan.

    Kemalangan itu berlaku pada Sabtu apabila sebuah bas yang membawa pekerja sebuah syarikat minyak NGL di daerah Dehloran terbalik.

  • Enam dron dilapor sasar radar pertahanan udara AS di pangkalan helikopter Bahrain

    Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengumumkan enam dron telah menyerang satu pemasangan radar pertahanan udara Amerika Syarikat (AS) di pangkalan helikopter Riffa, Bahrain, semasa fasa kedua tindak balas Iran terhadap pencerobohan ketenteraan AS, lapor berita IRNA.

    Menurut IRNA, Pejabat Perhubungan Awam IRGC dalam satu kenyataan yang dikeluarkan awal Ahad, berkata Angkatan Aeroangkasa telah melaksanakan operasi terbabit, sambil menambah bahawa dron-dron itu berjaya menghentam sasaran masing-masing.

    Kenyataan itu menyebut bahawa kesan serangan itu dapat didengari di pelbagai bahagian Bahrain, dan menyifatkan operasi itu sebagai satu lagi bukti keupayaan operasi IRGC — lapor IRNA.

    Ia turut mengkritik AS berhubung rancangan negara itu untuk mengiringi penghantaran minyak melalui Selat Hormuz, dengan menyifatkan inisiatif itu sebagai satu percubaan untuk menyeludup minyak. IRGC berkata Washington telah gagal dalam usaha itu dan kini cuba mengalihkan perhatian antarabangsa daripada situasi di laluan air strategik itu melalui tindakan terhad dan sporadik.

    Kenyataan itu menegaskan Selat Hormuz kekal ditutup dan memberi amaran bahawa sebarang pencerobohan lanjut oleh AS akan berdepan dengan tindak balas lebih tegas.

    Ia menambah bahawa lebih banyak dron IRGC dikerahkan ke arah sasaran AS dalam operasi ini berbanding fasa sebelumnya, serta memberi amaran bahawa sebarang tindakan bermusuhan akan dibalas dengan tindak balas keras dan terancang.

  • Kem pelarian Syria di Lubnan musnah dalam kebakaran

    Kebakaran melanda sebuah kem pelarian Syria di timur Lubnan pada Sabtu, memusnahkan semua 59 khemah yang menempatkan 75 keluarga, lapor berita Anadolu memetik saksi.

    Kebakaran itu tercetus di kem Bar Elias, sebuah pekan di daerah Zahle, Lembah Bekaa, yang menempatkan kira-kira 486 orang, lapor seorang koresponden Anadolu.

    Kebakaran itu memusnahkan seluruh kem itu, menyebabkan ratusan pelarian Syria kehilangan tempat berteduh.

    Tiada kecederaan dilaporkan dan pihak berkuasa Lubnan belum memberikan sebarang kenyataan mengenai punca kebakaran.

    Lubnan menampung sejumlah besar pelarian Syria sejak konflik di Syria bermula pada 2011.

    Pihak berkuasa Lubnan menganggarkan jumlah pelarian Syria adalah kira-kira 1.5 juta orang pada Januari, termasuk hampir 880,000 orang yang berdaftar dengan agensi pelarian PBB.

    Kerajaan Lubnan melancarkan program pulang secara sukarela pada Jun 2025 sebagai sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk memudahkan kepulangan pelarian Syria ke negara asal mereka.

    Lebih 500,000 pelarian Syria disahkan atau dipercayai telah pulang dari Lubnan menjelang akhir 2025, menurut laporan tahunan Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) — lapor Anadolu.

    Daripada itu, hampir 240,300 kepulangan dinilai sebagai tindakan secara sukarela.