Berita

  • 8 maut dalam nahas bas di Huila, Colombia

    Sekurang-kurangnya lapan orang maut dan 20 yang lain cedera pada awal Sabtu apabila sebuah bas penumpang terbalik di lebuh raya di jabatan Huila, barat daya Colombia, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.

    Kemalangan itu berlaku di Laluan Nasional 45 ketika bas terbabit dalam perjalanan dari Florencia menuju ke ibu kota, Bogota.

    Laporan awal menunjukkan dua kanak-kanak termasuk dalam kalangan mereka yang maut, manakala pihak berkuasa masih berusaha untuk mengesahkan jumlah korban serta mengenal pasti identiti mangsa.

  • Angka maut insiden bas di barat Iran meningkat kepada 10 orang

    Angka korban akibat insiden bas di wilayah Ilam, barat Iran, pada petang Sabtu meningkat kepada 10 orang, manakala 18 yang lain cedera, menurut berita Xinhua memetik laporan agensi berita separa rasmi Fars.

    Kejadian dilaporkan berlaku pada 7:25 malam waktu tempatan (1555 GMT) apabila sebuah bas terbalik di jalan raya dari Dasht-e Abbas di daerah Dehloran ke Murmuri di daerah Abdanan. Bas terbabit membawa pekerja sebuah syarikat penapisan petroleum berpangkalan di Dehloran.

  • Penduduk Taiwan memperingati ulang tahun ke-160 kelahiran Sun Yat-sen

    Pelbagai lapisan masyarakat di Taiwan mengadakan siri acara peringatan pada Khamis, sempena ulang tahun ke-160 kelahiran Sun Yat-sen, bagi menghormati legasi revolusionernya — lapor berita Xinhua.

    Di Dewan Peringatan Sun Yat-sen di Taipei, orang ramai hadir sepanjang pagi untuk memberikan penghormatan. Lebih 100 wakil daripada Chinese Kuomintang (KMT), Parti Baru (New Party), Persatuan Komuniti Kwong Tung Taipei serta kumpulan lain, bergilir-gilir memberikan penghormatan di hadapan patung Sun, menurut berita Xinhua.

    Dilahirkan pada 1866, Sun memimpin Revolusi 1911 lebih seabad yang lalu untuk menghapuskan sistem monarki mutlak yang telah memerintah China selama beribu-ribu tahun, menurut Xinhua, dia juga tokoh pengasas KMT. Sun meninggal dunia pada 1925 dan sangat dihormati oleh masyarakat Cina sebagai seorang daripada tokoh perintis revolusi negara itu.

    “Sun mendedikasikan hidupnya demi penyatuan dan kebangkitan semula negara. Rakyat di kedua-dua belah Selat Taiwan harus mengingati dia dan meneruskan semangatnya,” kata seorang penduduk Taipei yang bermarga Li, yang menghadiri acara peringatan tahunan itu selama bertahun-tahun, lapor Xinhua.

    Seorang wanita bermarga Wu dari Bandar Taipei Baharu, yang hadir bersama seorang rakan, menyifatkan kunjungan itu sebagai suatu yang bermakna. Setelah mempelajari mengenai Sun melalui buku dan dokumentari, Wu menyatakan kekagumannya terhadap cita-cita dan pendiriannya sambil menambah bahawa pemikiran Sun masih relevan pada masa kini dan wajar dikaji dengan lebih mendalam.

    Dalam satu persidangan mengenai inisiatif keamanan rentas Selat yang berlangsung pada Khamis, Kao Yuang-kuang, bekas Dekan Kolej Sains Sosial di Universiti Chengchi, mengetengahkan hubungan sejarah antara Sun dengan Taiwan.

    Sun pernah melawat Taiwan sebanyak tiga kali dan membantu menubuhkan cawangan pertubuhan revolusioner Tongmenghui di pulau itu, sekali gus memperkenalkan idea-idea demokrasi dan revolusi, lapor Xinhua, menurut Kao, dia juga telah memberi inspirasi kepada ramai golongan patriot muda di Taiwan untuk pergi ke tanah besar China bagi menyertai revolusi itu.

  • Mesir kutuk serangan Israel yang membawa maut ke atas hospital di Gaza

    Mesir pada Khamis, mengutuk serangan udara Israel ke atas Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis, selatan Jalur Gaza, yang mengorbankan sekurang-kurangnya enam rakyat Palestin dan mencederakan lebih 20 yang lain, termasuk kanak-kanak dan petugas perubatan — menurut berita Xinhua.

    Kementerian Luar Negeri Mesir dalam kenyataan dilapor berkata, serangan itu pelanggaran nyata terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa, serta menjejaskan usaha untuk mengekalkan gencatan senjata dan memperbaiki keadaan kemanusiaan di Gaza.

    Mesir menyeru agar semua pelanggaran gencatan senjata oleh Israel dihentikan serta-merta dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk mempertahankan gencatan senjata itu serta mencegah serangan lanjut, demi membuka jalan bagi pelan damai dan memulihkan kestabilan di Gaza — lapor Xinhua.

    Kompleks Perubatan Nasser dikatakan hospital kedua terbesar di Jalur Gaza.

  • Lebih 333,000 orang terlantar di Yaman sejak Ogos — PBB

    Lebih 333,000 orang terlantar di Yaman sejak awal Ogos susulan peningkatan pertempuran, termasuk lebih 24,000 orang dalam tempoh seminggu yang lalu sahaja, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis — berita Anadolu melaporkan.

    Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata, orang awam “terus menanggung akibat yang berat memandangkan keganasan telah merosakkan kemudahan kesihatan, memaksa keluarga meninggalkan kediaman mereka serta menghambat kerja bantuan kemanusiaan”.

    Pejabat Hak Asasi Manusia PBB menentusahkan 289 mangsa orang awam sejak awal Ogos, membabitkan 72 mati dan 217 cedera, lapor Anadolu memetik OCHA.

    Kanak-kanak merangkumi separuh daripada jumlah mereka yang terkorban, manakala wanita dan kanak-kanak secara keseluruhan membentuk hampir dua pertiga daripada jumlah mangsa, lapor Anadolu.

  • 8 maut, 17 cedera bangunan runtuh di New York

    Lapan orang maut dan sekurang-kurangnya 17 yang lain cedera dalam kejadian bangunan runtuh di bandar raya New York, kata Datuk Bandar Zohran Mamdani pada Khamis menerusi X, menambah bahawa operasi menyelamat sedang dijalankan — menurut berita Xinhua.

  • Iran tetapkan tentera laut dan tentera udara Argentina sebagai ‘organisasi pengganas’

    Tehran mengisytiharkan tentera laut dan tentera udara Argentina sebagai “organisasi pengganas”, lapor berita Reuters memetik Kementerian Luar Iran pada Rabu, dalam tindakan balas susulan keputusan Buenos Aires pada April melabelkan Pengawal Revolusi Islam Iran sebagai entiti pengganas.

    Argentina telah mengisytiharkan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) sebagai organisasi pengganas, berikutan desakan daripada pentadbiran Presiden AS Donald Trump, agar negara-negara sekutu mengambil tindakan sedemikian, lapor Reuters.

  • Senator AS gesa Israel benarkan bantuan kemanusiaan segera masuk ke Gaza

    Senator AS, Brian Schatz, pada Selasa menggesa Israel supaya segera membenarkan peralatan menyelamat, bahan binaan dan bekalan musim sejuk dibawa masuk ke Gaza, susulan banjir yang meragut nyawa dan menjejaskan ribuan rakyat Palestin, lapor berita Anadolu.

    Berucap di Dewan Senat, Schatz berkata, hujan lebat sepanjang hujung minggu telah menyebabkan banjir yang menenggelamkan lebih 70,000 khemah di Gaza, mengakibatkan empat orang terkorban, membabitkan tiga kanak-kanak dan seorang wanita.

    “Hampir semua orang di kawasan itu memerlukan bantuan. Ini merupakan satu kecemasan kemanusiaan yang sedang berlaku di depan mata dan sekatan berterusan oleh kerajaan Israel terhadap bekalan bahan api serta kemusnahan peralatan telah menyukarkan lagi usaha menyalurkan bantuan kepada penduduk. Ini bukan tuduhan yang bersifat partisan,” kata Schatz.

    Beliau turut memetik kritikan daripada ‘Board of Peace’ (Lembaga Keamanan) di bawah presiden AS Donald Trump, yang menyifatkan respons kerajaan Israel sebagai “tidak mencukupi”.

    Menurut Schatz, lembaga itu juga menyatakan bahawa kelewatan yang berlaku telah memburukkan lagi kesan krisis kemanusiaan yang sebenarnya boleh dijangka.

    “Musim sejuk baru sahaja bermula di Gaza, dan keadaan akan menjadi lebih teruk jika tiada tindakan segera diambil. Kerajaan Israel mesti segera membenarkan peralatan menyelamat, bahan binaan, dan bekalan musim sejuk dibawa masuk ke Gaza,” tegas senator itu.

    Schatz menekankan bahawa perbezaan pendapat mengenai konflik Israel-Palestin yang lebih luas tidak seharusnya menghalang usaha untuk menangani penderitaan dialami orang awam pada masa ini.

    Beliau mengetengahkan nasib kanak-kanak yang terdedah kepada suhu yang sangat sejuk, serta keluarga yang tempat perlindungan mereka telah rosak akibat hujan lebat.

    “Kita tidak perlu bersetuju dalam segala perkara lain sebelum kita membantu mereka. Kita harus membantu mereka kerana mereka adalah manusia,” katanya.

  • Netanyahu, Trump dilapor bertelagah mengenai Iran dalam satu panggilan telefon yang tegang

    Perdana menteri Israel Benjamin Netanyahu dan presiden AS Donald Trump, dilaporkan bertelagah semasa satu panggilan telefon pada hujung minggu lalu, di tengah-tengah perbezaan pendapat mengenai kemungkinan untuk menyambung semula operasi ketenteraan terhadap Iran, menurut laporan media pada Selasa — lapor berita Anadolu.

    Menurut Anadolu, akhbar Yedioth Ahronoth, memetik sumber yang mengetahui mengenai perbualan itu, berkata panggilan itu tertumpu terutama kepada Iran serta perbezaan pandangan antara Washington dan Tel Aviv berhubung kemungkinan tercetusnya semula peperangan.

    Sumber-sumber menyifatkan perbualan itu sebagai sangat sukar dan penuh dengan konfrontasi, dengan seorang daripadanya menggelarnya sebagai “perbualan penuh jeritan dari neraka”.

    Pejabat Netanyahu bagaimanapun menolak dakwaan itu dan menafikan bahawa perbualan itu bersifat kontroversi.

    “Berita palsu, karut semata-mata,” tegas pejabat itu sebagai respons.

    Seorang pegawai kanan Israel turut mengesahkan bahawa panggilan telefon itu memang berlaku, namun menegaskan bahawa ia tidaklah sesukar yang digambarkan.

    Menurut Anadolu, laporan itu muncul sehari selepas Financial Times melaporkan bahawa Netanyahu telah menghubungi Trump “setiap hari” bagi mendesak dia menyambung semula tindakan ketenteraan terhadap Iran, menurut seseorang yang dimaklumkan mengenai perbincangan terbabit.

  • 2 calon ditembak mati beberapa hari sebelum pilihan raya tempatan di Ecuador

    Dua calon dalam pilihan raya tempatan Ecuador yang dijadualkan pada 29 November ditembak mati dalam satu serangan bersenjata pada malam Isnin di Huaquillas, wilayah pesisir selatan El Oro, yang turut didakwa mengorbankan seorang wanita, lapor media tempatan pada Selasa, memetik laporan Polis Nasional — menurut berita Xinhua.

    Mangsa dikenal pasti sebagai Ronald Farfan, bekas datuk bandar Huaquillas yang berusaha untuk mendapatkan semula jawatan itu dan Cristhian Rugel, calon ahli majlis bandar raya di kawasan yang sama.

    Menurut Polis Nasional, serangan itu berlaku di kawasan kejiranan Los Israelitas, tempat kedua-dua calon terbabit sedang menghadiri satu perhimpunan politik bersama penyokong menjelang pilihan raya.

    Polis sedang menyiasat beberapa kemungkinan motif serangan itu, termasuk ancaman dan pemerasan oleh kumpulan penjenayah.

    Berdasarkan angka rasmi yang dipetik oleh media tempatan, El Oro telah mencatatkan hampir 1,000 kes pembunuhan setakat ini pada 2026, iaitu kira-kira 50 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

    Penduduk Ecuador akan mengundi pada 29 November untuk memilih ketua wilayah (prefect) dan timbalan ketua wilayah, datuk bandar, ahli majlis bandar raya bagi kawasan bandar dan luar bandar, serta anggota lembaga paroki luar bandar.