Berita

  • Netanyahu dilapor hubungi Trump ‘setiap hari’ desak sambung semula perang dengan Iran

    Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dilapor menghubungi Presiden AS Donald Trump, “setiap hari” bagi mendesaknya menyambung semula tindakan ketenteraan terhadap Iran, walaupun terdapat usaha diplomatik untuk menamatkan konflik itu, menurut berita Anadolu memetik laporan The Financial Times pada Isnin.

    “Netanyahu menghubunginya setiap hari [untuk mendesak dia menyambung semula perang],” kata seorang individu yang dimaklumkan mengenai perbincangan itu kepada akhbar British itu.

    Dia berkata, pihak-pihak di dalam dan di luar Rumah Putih yang menentang penyambungan semula pertempuran telah berusaha untuk menangani tekanan daripada Netanyahu untuk penyambungan semula perang.

    “Para pemimpin serantau meminta dia (Trump) supaya tidak meningkatkan ketegangan dan sebaliknya mengutamakan rundingan,” kata sumber itu, seperti dilaporkan.

    Menurut berita Anadolu, seorang lagi individu yang mengikuti perkembangan situasi di Israel berkata Netanyahu mahu tindakan ketenteraan terhadap Iran disambung semula, namun pada masa ini tiada usaha bersepadu untuk memujuk Trump ke arah itu.

  • IRGC Iran dipersalahkan atas serangan siber pasar raya Perancis

    Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, pada Isnin berkata, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran bertanggungjawab atas serangan siber yang menyasarkan sistem penyejukan di ratusan pasar raya Perancis pada Oktober, berdasarkan corak serangan dikaitkan dengan sebuah entiti di bawah IRGC, lapor berita Xinhua.

    Bercakap kepada pemberita di Paris selepas mesyuarat menteri-menteri luar Kumpulan Tujuh (G7), Barrot berkata Perancis telah memanggil duta Iran ke Perancis untuk mengemukakan “bantahan keras” berhubung serangan terbabit.

    Dia menyifatkan serangan siber itu sebagai “pelanggaran besar terhadap kepentingan negara” dan berkata bahawa pihak yang bertanggungjawab akan berdepan dengan “sekatan di peringkat Eropah.”

    Menurut berita Xinhua, pejabat pendakwa raya Paris telah memulakan siasatan kehakiman terhadap serangan siber itu, lapor akhbar harian Perancis, Le Monde, pada Isnin.

    Siasatan itu, menyasarkan ketua Shahid Kaveh—sebuah unit serangan siber Iran yang mempunyai kaitan dengan Pusat Elektronik dan Siber IRGC—beserta dua timbalannya dan “mana-mana individu lain yang mungkin dikenal pasti” — lapor Xinhua.

    Pejabat itu dilapor berkata, penyiasat, dengan sokongan daripada agensi-agensi kerajaan yang khusus, telah menemui corak serangan yang menjadi ciri khas unit berkenaan, termasuk “penggunaan bahasa Parsi dan alamat IP yang dikaitkan dengan peranti yang terletak di Iran”.

    Serangan yang berlaku sepanjang malam dari 11 hingga 12 Oktober itu menyasarkan sistem penyejukan di ratusan pasar raya Perancis. Penggodam mengaktifkan kitaran penyahbekuan (defrost) secara berterusan dari jarak jauh dan menetapkan suhu sasaran kepada 50 darjah Celsius, yang mengakibatkan kerugian kewangan dianggarkan berjumlah beberapa juta euro, lapor saluran berita Perancis, BFMTV — menurut berita Xinhua.

  • Angka maut kebakaran bangunan di China meningkat kepada 14

    Angka maut akibat kebakaran sebuah bangunan di Taiyuan, ibu kota wilayah Shanxi di utara China, meningkat kepada 14 orang, pihak berkuasa tempatan berkata pada Isnin — lapor berita Xinhua.

    Kebakaran itu berlaku di bangunan di daerah Yingze di bandar itu pada 4:59 petang Ahad.

  • 5 maut selepas tebing pasir runtuh hempap ​​khemah di tengah Gaza

    Sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin, termasuk tiga kanak-kanak, maut pada petang Ahad apabila sebuah tebing pasir runtuh menghempap ​ khemah menempatkan keluarga terlantar di Deir al-Balah, tengah Gaza, kata pegawai Palestin — menurut berita Xinhua.

    Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal, berkata tebing itu runtuh menghempap ​​khemah di sebuah pusat perlindungan akibat hujan lebat.

    Katanya, kejadian runtuhan itu mengorbankan lima orang, termasuk tiga kanak-kanak dan seorang wanita serta menyebabkan beberapa orang lain cedera, dengan sesetengahnya parah.

    Insiden itu berlaku sehari selepas kira-kira 70,000 khemah yang menempatkan keluarga terlantar dilanda banjir akibat hujan, susulan cuaca tekanan rendah melanda Jalur Gaza, sekali gus memburukkan lagi keadaan hidup yang sememangnya sudah sukar.

  • Puluhan ribu orang berdemonstrasi di Amsterdam, desak tindakan lebih tegas Belanda berhubung Gaza

    Protes pro-Palestin secara besar-besaran berlangsung di Amsterdam pada Ahad, dengan peserta menggesa kerajaan Belanda untuk mengambil tindakan lebih lanjut berhubung konflik di Gaza — lapor berita Xinhua.

    Penganjur berkata, kira-kira 200,000 orang menyertai protes “Garis Merah” (Red Line) itu, menurut Xinhua, ramai penunjuk perasaan memakai pakaian berwarna merah serta membawa bendera dan sepanduk Palestin, mendesak kerajaan Belanda untuk meningkatkan tekanan politik, ekonomi, dan diplomatik terhadap Israel.

    Menurut Xinhua memetik laporan media tempatan, protes itu secara keseluruhannya berjalan dengan aman dan teratur, walaupun empat individu ditangkap. Pertembungan antara pihak polis dan penunjuk perasaan turut berlaku di beberapa lokasi laluan perarakan.

    Kemudian pada Ahad, selepas protes itu, menteri luar Belanda Tom Berendsen berkata, kebimbangan orang ramai terhadap situasi di wilayah Palestin dan Israel adalah sesuatu yang boleh difahami — menurut berita Xinhua.

    Menerusi satu hantaran di media sosial, dia menambah bahawa kabinet kekal komited “untuk menggalakkan kestabilan di Timur Tengah, memperbaiki situasi kemanusiaan di Gaza, serta mewujudkan sebuah negara Palestin yang berdaya maju, demokratik dan merdeka, yang wujud bersebelahan dengan Israel yang selamat.” — lapor berita Xinhua.

    Perdana Menteri Rob Jetten, yang pernah menyertai protes “Garis Merah” pada tahun lalu sebelum memegang jawatan, tidak hadir dalam perhimpunan kali ini.
    Bercakap pada satu sidang akhbar pada Jumaat, dia berkata peranan semasa dia sebagai perdana menteri menyebabkan penyertaannya tidak wajar.

    Jetten berkata, kerajaan Belanda telah mengambil langkah yang menyasarkan penempatan haram di Tebing Barat serta sedang bekerjasama dengan rakan-rakan Eropah untuk meningkatkan tekanan diplomatik.

    Dia berkata, masyarakat antarabangsa harus jelas bahawa penyelesaian dua negara adalah satu-satunya jalan ke arah keamanan dan keselamatan yang berkekalan bagi kedua-dua pihak, Israel dan Palestin.

    Pada akhir September, kerajaan Belanda mengumumkan larangan terhadap produk berasal dari penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki. Sebagai tindak balas, Israel menarik balik keistimewaan dan kekebalan diplomatik bagi diplomat Belanda berpangkalan di Ramallah.

  • 7 maut, lebih 100 cedera tren tergelincir di Mesir

    Tujuh penumpang maut dan 112 orang cedera pada Ahad selepas beberapa gerabak kereta api penumpang tergelincir dan terbalik di wilayah Giza, utara Mesir, kata kementerian kesihatan Mesir, menurut berita Anadolu.

    Kemalangan itu berlaku dekat kampung Gerza di daerah Al-Ayyat, di jalan pertanian Kaherah–Aswan.

    Menurut kementerian itu, lapor Anadolu, kecederaan dialami termasuk lebam, calar, dan patah tulang, dengan 45 orang telah dibenarkan keluar dari hospital selepas keadaan mereka bertambah baik.

    Menurut Anadolu, Kereta Api Nasional Mesir berkata, kereta api No. 134, yang dalam perjalanan dari Giza ke Fayoum, telah melanggar belakang kereta api Kaherah–Aswan No. 2010 di antara stesen Kafr Ammar dan Al-Riqqa, menyebabkan beberapa gerabak tergelincir.

  • Serangan dron sasar medan gas, ganggu bekalan elektrik di utara Iraq

    Satu serangan dron menyasarkan medan gas Khor Mor di wilayah Kurdistan, Iraq pada lewat Ahad, sekali gus memotong bekalan gas ke loji janakuasa dan menyebabkan pengurangan drastik dalam pengeluaran elektrik, kata pihak berkuasa wilayah — menurut berita Anadolu.

    Menurut Anadolu, kementerian elektrik wilayah itu berkata kapasiti penjanaan kira-kira 2,800 megawatt telah terhenti akibat gangguan.

    Laporan awal menunjukkan kerosakan meluas serta penghentian pengeluaran di medan gas berkenaan, yang terletak di daerah Chamchamal, wilayah Sulaymaniyah.

  • Letupan dilapor kedengaran di Bandar Abbas dan Qeshm di selatan Iran

    Beberapa letupan kedengaran di bahagian bandar pelabuhan Bandar Abbas di selatan Iran serta di Pulau Qeshm yang terletak berhampiran, lapor berita Anadolu memetik agensi berita separa rasmi Fars melaporkan pada petang Ahad.

    Memetik sumber tempatan, Fars mengatakan bunyi terbabit mungkin berpunca daripada tembakan amaran yang dilepaskan ke arah kapal-kapal yang disyaki melanggar peraturan pelayaran di Selat Hormuz.

    Pulau Qeshm terletak dekat Bandar Abbas, di pintu masuk ke Selat Hormuz, laluan perkapalan utama bagi eksport minyak dari rantau Teluk.

  • 2 penduduk Gaza maut, 12 lagi cedera dalam serangan berterusan Israel

    Dua rakyat Palestin, termasuk seorang wanita, maut manakala 12 orang lagi, termasuk seorang wanita, mengalami kecederaan dalam serangan Israel di Jalur Gaza sejak fajar Ahad, menurut berita Anadolu.

    Menurut Anadolu, sumber perubatan di Kompleks Perubatan Nasser berkata, dua rakyat Palestin, termasuk seorang wanita, maut, manakala tujuh orang lain mengalami kecederaan dengan tahap keterukan yang berbeza-beza, susulan serangan Israel terhadap sekumpulan orang awam di kawasan Al-Mawasi, Khan Younis, di selatan Gaza.

    Menurut Anadolu, satu sumber perubatan memberitahunya, empat rakyat Palestin cedera, termasuk seorang yang mengalami kecederaan parah, dalam satu serangan Israel yang menyasarkan sekumpulan orang awam di utara Gaza.

    Saksi mata berkata, sebuah dron telah melancarkan peluru berpandu ke arah sekumpulan orang ramai di kawasan Bir al-Naaja, di barat Jabalia, utara Gaza.

    Di bahagian selatan pula, seorang wanita ditembak di belakang oleh tentera Israel ketika dia berada di Kem Qatar (Qatari Camp), di sebelah timur kompleks kediaman Hamad di Khan Younis, lapor Anadolu memetik sumber.

  • Presiden Israel tugaskan Eisenkot untuk bentuk kerajaan baharu

    Presiden Israel, Isaac Herzog, pada Ahad menugaskan pemimpin parti Yashar, Gadi Eisenkot, untuk membentuk kerajaan baharu, selepas pilihan raya parlimen menyaksikan blok Eisenkot mahupun pakatan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu gagal memperoleh majoriti, lapor berita Anadolu.

    Menurut Anadolu, memetik laporan penyiar awam Israel – KAN, Eisenkot secara rasmi menerima mandat untuk membentuk kerajaan seterusnya dalam satu pertemuan dengan Herzog di kediaman presiden di Baitulmaqdis Barat.

    Pelantikan ini dibuat susulan rundingan Herzog dengan parti-parti diwakili di Knesset. Seramai 67 ahli parlimen mencadangkan Eisenkot, 46 menyokong Netanyahu, manakala tujuh lagi tidak mencadangkan mana-mana calon.

    Di bawah undang-undang Israel, Eisenkot mempunyai tempoh 28 hari untuk membentuk gabungan kerajaan. Presiden boleh memberikan lanjutan tempoh sehingga 14 hari lagi.

    Berucap pada majlis penyerahan tugas, Herzog berkata, Eisenkot telah memperoleh sokongan yang jelas untuk membentuk kerajaan.

    Israel memerlukan “kerajaan yang stabil”, katanya, menyeru agar usaha dilakukan untuk menyatukan masyarakat Israel, meneruskan pelaksanaan pelan 20 perkara bagi Jalur Gaza, berunding dengan negara-negara di rantau tu, bertindak balas terhadap perkembangan di AS dan menangani isu kerahan tenaga tentera.