Berita

  • Sekurang-kurangnya 12 maut kemalangan bot di timur DR Congo

    Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi masih hilang selepas sebuah bot terbalik di Tasik Kivu di timur Republik Demokratik Congo (DRC), menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan pada Ahad.

    Kemalangan itu berlaku antara malam Sabtu dan awal pagi Ahad. Bot terbabit bertolak dari Bukavu, ibu kota Wilayah Kivu Selatan, dan terbalik dalam perjalanan.

    Menurut Xinhua, media tempatan memetik maklumat awal, melaporkan mungkin terdapat lebih 80 orang di atas bot itu. Pasukan penyelamat telah menemui sekurang-kurangnya 12 mayat dan lima mangsa yang terselamat setakat pagi Ahad, manakala nasib berpuluh-puluh orang lagi masih belum diketahui.

  • Sekurang-kurangnya 6 pelombong maut serangan di tengah Nigeria

    Sekurang-kurangnya enam pelombong mati ditembak dan dua lagi cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata tidak dikenali menyerang tapak perlombongan berskala kecil di Negeri Plateau, tengah Nigeria, menurut berita Xinhua memetik pelbagai sumber termasuk media tempatan pada Ahad.

    Berpuluh-puluh pelombong melarikan diri selepas lelaki-lelaki bersenjata bermotosikal melepaskan tembakan di tapak perlombongan di Kampung Lajam Marit, dalam Kawasan Kerajaan Tempatan Barkin Ladi, pada petang Sabtu.

    Menurut Xinhua, harian kebangsaan Punch Newspaper memetik sumber tempatan melaporkan pelombong sedang menjalankan aktiviti mereka apabila diserang.

    Rwang Tengwong, jurucakap kebangsaan bagi Persatuan Berom Youth Moulders, sebuah kumpulan sosiobudaya, dilapor memberitahu media bahawa lelaki-lelaki bersenjata itu melarikan diri melalui jalan denai hutan selepas serangan terbabit.

    Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu setakat ini.

    Negeri Plateau terletak di kawasan Middle Belt Nigeria, yang menghubungkan bahagian utara negara itu yang majoritinya beragama Islam dengan bahagian selatan yang majoritinya beragama Kristian. Sejak kebelakangan ini, negeri berkenaan sering mengalami keganasan berulang yang lazimnya berpunca daripada pertikaian mengenai tanah dan sumber antara komuniti yang berbeza.

  • 8 maut, 12 cedera selepas bas terbalik di timur laut Brazil

    Sekurang-kurangnya lapan orang maut dan 12 lagi cedera selepas sebuah bas terbalik di negeri Bahia, timur laut Brazil, menurut berita Xinhua memetik polis pada Sabtu.

    Kemalangan itu berlaku pada kira-kira jam 11 malam waktu tempatan Jumaat dekata Iraquara, di wilayah Diamantina, dengan 22 penumpang di dalam bas terbabit, lapor Xinhua.

    Tujuh orang meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia kemudiannya akibat cedera walaupun telah menerima rawatan perubatan.

  • 11 maut, 30 cedera dalam letupan di Dera Ismail Khan, Pakistan

    Sebelas orang terbunuh dan 30 lagi cedera dalam satu letupan di Dera Ismail Khan, barat laut Pakistan pada Sabtu, menurut berita Reuters memetik perkhidmatan kecemasan Rescue 1122.

    Dera Ismail Khan, yang terletak di wilayah Khyber Pakhtunkhwa dekat sempadan Pakistan-Afghanistan, sering menjadi sasaran keganasan militan Islamis yang kerap menyasarkan polis dan pasukan keselamatan.

    Tehreek-e-Taliban Pakistan mengaku bertanggungjawab atas serangan pada Sabtu itu, menurut Reuters.

    Letupan itu berlaku dekat Aman Mela di kawasan Darazinda di daerah terbabit, menurut Reuters memetik kenyataan Rescue 1122.

  • 11 maut, 24 cedera bas terbalik di tengah Iran

    Sekurang-kurangnya 11 orang maut dan 24 lagi cedera selepas sebuah bas terbalik di jalan raya antara bandar di wilayah Markazi, tengah Iran, pada awal pagi Sabtu, menurut berita Xinhua memetik laporan agensi berita separa rasmi Mehr.

    Kemalangan itu berlaku di daerah Saveh pada jam 4.48 pagi waktu tempatan (0118 GMT) ketika bas terbabit dalam perjalanan, menurut kenyataan Hamid Abreh Dari, seorang pegawai perkhidmatan perubatan kecemasan Saveh, yang dipetik oleh Mehr.

  • 19 maut selepas minum minuman keras tiruan di Nagaland, India

    Sekurang-kurangnya 19 orang meninggal dunia di dua lokasi berasingan di negeri Nagaland, timur laut India, dalam tempoh dua hari lalu selepas meminum minuman keras yang disyaki tiruan, menurut berita Xinhua memetik polis mengesahkan pada Sabtu.

    Sebanyak 11 kematian dilaporkan di kawasan Tuensang, manakala lapan orang dilaporkan meninggal dunia di Mokokchung.

    Nagaland dikategorikan sebagai negeri bebas alkohol (dry state) selama lebih tiga setengah dekad, dengan penjualan dan pengambilan semua jenis minuman keras dilarang sepenuhnya.

    Kerajaan Nagaland telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengesan punca minuman keras yang disyaki tiruan itu, dan beberapa individu telah ditahan berhubung kes berkenaan, Xinhua memetik polis tempatan.

  • Lima lemas ketika menyeberangi sungai di sempadan Croatia-Slovenia

    Lima orang lemas di Sungai Kupa, barat Croatia, sempadan dengan Slovenia, manakala lima lagi diselamatkan, menurut berita Xinhua memetik polis berkata pada Jumaat.

    Polis menerima panggilan pada jam 3:30 petang (1330 GMT) yang melaporkan sekumpulan besar individu, dipercayai pendatang, dilihat berada di sungai dekat kawasan sempadan Damalj.

    Sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang anggota polis terjun ke dalam sungai dan, dengan bantuan penduduk tempatan serta seorang lagi anggota polis, berjaya menyelamatkan lima warga asing.
    Seramai 14 orang berjaya menyeberangi sungai itu dan kini berada di Slovenia.

    Siasatan jenayah sedang dijalankan. Anggota polis, dengan bantuan anggota bomba, meneruskan operasi pencarian di kawasan berkenaan. Kewarganegaraan mangsa masih belum dikenal pasti.

    Croatia, sebuah negara di Eropah Tenggara yang menyertai Kesatuan Eropah (EU) pada 2013 dan kawasan Schengen pada 2023, terletak di laluan yang sering digunakan oleh pendatang dari Timur Tengah, Asia Selatan, dan Afrika. Pendatang kerap cuba menyeberang dari Bosnia dan Herzegovina ke Croatia sebelum meneruskan perjalanan ke Slovenia serta negara-negara EU lain yang lebih makmur di Eropah Barat dan Utara.

    Sungai Kupa merupakan sebahagian daripada sempadan semula jadi antara Croatia dan Slovenia serta telah menjadi lokasi lintasan amat berbahaya.

  • Dua askar Israel maut insiden dron di utara Jalur Gaza

    Dua askar Israel terbunuh pada Khamis apabila sebuah dron tentera Israel yang terhempas meletup di pos kawalan mereka di utara Jalur Gaza, menurut berita Xinhua memetik laporan saluran milik kerajaan Israel, Kan TV News.

    Kedua-dua mereka, masing-masing berusia 23 dan 24 tahun, merupakan askar tempur yang berkhidmat dalam Briged ke-16 Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

    Askar terbabit menghampiri dron berkenaan selepas ia terhempas dan dipercayai menyentuhnya, lalu mencetuskan letupan yang menyebabkan mereka mengalami kecederaan parah.

    Mereka diberikan rawatan di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke sebuah hospital di selatan Israel, di mana mereka kemudiannya disahkan meninggal dunia, lapor Xinhua.

  • Angka maut susulan hujan lebat akibat taufan di Jepun meningkat kepada 11

    Angka kematian meningkat kepada 11 orang, dengan tiga lagi masih hilang, selepas hujan lebat dibawa taufan besar melanda wilayah Kanto di timur Jepun serta mencetuskan kejadian tanah runtuh dan banjir awal minggu ini, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan pada Jumaat.

    Daripada jumlah kematian itu, tujuh disahkan di prefektur Chiba, di timur Tokyo, manakala empat lagi disahkan di prefektur Kanagawa, di barat daya ibu negara itu.

    Mangsa terkini ditemui ialah seorang wanita berusia lingkungan 70-an yang dilaporkan hilang selepas kejadian tanah runtuh di Yokosuka, Kanagawa, menurut berita Xinhua memetik penyiar awam NHK.

    Pihak polis dan anggota bomba meneruskan usaha mencari mereka yang hilang.

    Taufan Dujuan dilaporkan menghampiri pantai timur Pasifik Jepun pada Isnin, membawa taburan hujan pada paras rekod ke wilayah Kanto dan Kepulauan Izu, mencetuskan tanah runtuh serta banjir sungai dan mengakibatkan kerosakan teruk di kawasan dekat Tokyo, khususnya di prefektur Chiba.

  • Angka maut cecah 42 orang selepas vesel karam di Laut Jawa, Indonesia

    Angka kematian akibat insiden KM Virgo Transport 8 karam di Laut Jawa, Indonesia meningkat kepada 42 orang selepas pasukan mencari dan menyelamat menemui 14 lagi mayat di dalam vesel itu, menurut berita Anadolu memetik laporan media pada Khamis.

    Mangsa ditemui semasa operasi menyelam di dalam bangkai vesel itu, menurut Anadolu memetik agensi berita Antara, memetik kenyataan Mohammad Syafii, ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (SAR) atau Basarnas.

    “Usaha pasukan SAR gabungan sekali lagi membuahkan hasil,” kata Syafii.

    Dilaporkan, sehingga Khamis, pihak berkuasa telah menemui 150 orang daripada senarai penumpang vesel terbabit.

    Daripada jumlah itu, 108 orang dilaporkan terselamat manakala 42 orang disahkan meninggal dunia.

    Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan 93 orang hilang, menurut angka terkini, lapor Anadolu.