10 pelombong maut bas mini jatuh sungai di Bolivia

Sekurang-kurangnya 10 pelombong maut dan empat lagi parah pada Isnin selepas sebuah bas mini terjunam kira-kira 25 meter ke dasar sungai di jabatan barat La Paz, Bolivia, menurut berita Xinhua memetik seorang pegawai tempatan.

Menurut Ricardo Terrazas, komander polis jabatan itu, kemalangan berlaku di daerah Tres Rios dalam kawasan perbandaran Irupana pada awal pagi ketika para pelombong dalam perjalanan ke tempat kerja di lombong 15 de Agosto di wilayah Yungas.

Bas mini pengangkutan awam itu terjunam ke dasar sungai dan merempuh batu-batan, menurut laporan awal.

Penduduk tempatan adalah pihak pertama yang tiba di lokasi kejadian dan mula menyelamatkan mangsa yang terselamat sebelum pihak polis sampai ke tempat kemalangan.

Dilaporkan, empat mangsa yang terselamat dan mengalami kecederaan parah telah dibawa ke hospital di kawasan metropolitan La Paz untuk rawatan.