AS dilapor pertimbang serangan guna “ibu kepada segala bom” terhadap Iran

Tentera Amerika Syarikat (AS) merangka pelan serangan baharu yang mungkin membabitkan penggunaan apa yang digelar “Ibu kepada Segala Bom” (MOAB) untuk menyasarkan infrastruktur tenaga dan tapak nuklear Iran, sekiranya Presiden Donald Trump mengarahkan penyambungan semula operasi tempur, sama ada sebelum atau selepas pilihan raya pertengahan penggal, menurut berita Xinhua memetik CNN melaporkan pada Khamis, memetik beberapa pegawai AS yang mengetahui perkara itu.

“Penggunaan GBU-43/B Massive Ordnance Air Blast Bomb atau MOAB, bom bukan nuklear terbesar dalam inventori AS, buat kali pertama dalam konflik dengan Iran akan menandakan peningkatan ketegangan yang ketara. Walau bagaimanapun, timbul keraguan mengenai sejauh mana keberkesanannya dalam mencapai objektif strategik yang ditetapkan oleh Trump, atau dalam mengubah keseimbangan perang,” lapor Xinhua memetik laporan itu, yang memetik beberapa sumber yang arif mengenai perbincangan perancangan ketenteraan dalaman berhubung kemungkinan penggunaan senjata terbabit.

Perkembangan ini berlaku di tengah-tengah ketegangan yang berterusan antara Washington dan Tehran, meskipun terdapat usaha diplomatik untuk menamatkan konflik.

Pada 8 Oktober, Trump berkata bahawa AS tidak akan melancarkan serangan baharu terhadap Iran sebelum pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November, dengan merujuk kepada perbincangan yang sedang berlangsung bersama pegawai-pegawai Iran, namun tidak menolak kemungkinan tindakan ketenteraan lanjut selepas tarikh itu.

MOAB, yang mempunyai berat kira-kira 21,000 paun (9,525 kg), direka untuk memusnahkan sasaran di kawasan luas.