China jatuhkan hukuman mati 3 ketua kumpulan jenayah berpangkalan di Myanmar

Mahkamah China menjatuhkan hukuman mati terhadap tiga ahli utama kumpulan jenayah berpangkalan di Myanmar pada Selasa atas jenayah termasuk penipuan telekomunikasi dan perjudian, lapor berita Anadolu memetik media kerajaan.

Mahkamah Rakyat Pertengahan di Quanzhou dan sebuah mahkamah di Nan’an, kedua-duanya di wilayah Fujian, timur China, menjatuhkan hukuman itu terhadap ahli rangkaian jenayah keluarga Wei, lapor Anadolu memetik Agensi Berita Xinhua milik kerajaan.

Tiga lagi tertuduh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, manakala 55 orang lagi dikenakan hukuman penjara antara tiga tahun tiga bulan hingga 24 tahun.

Mahkamah turut mengenakan hukuman tambahan, termasuk denda, perampasan harta benda, dan pengusiran.

Menurut pihak berkuasa China, sindiket itu mengendalikan kawasan jenayah di wilayah Kokang, Myanmar, serta terbabit dalam penipuan telekomunikasi, perjudian, pemerasan, dan aktiviti haram lain.

Keputusan mahkamah ini dibuat ketika Beijing mempergiatkan tindakan keras terhadap rangkaian penipuan rentas sempadan yang beroperasi di Myanmar.

Pada Februari, China melaksanakan hukuman mati terhadap 15 ahli kumpulan jenayah berpangkalan di Myanmar yang disabitkan kesalahan termasuk pembunuhan, penipuan telekomunikasi, dan pengedaran dadah, lapor Anadolu.

Menurut pihak berkuasa China, lapor Anadolu, lebih 7,600 warga China yang disyaki terbabit dalam penipuan telekomunikasi telah dibawa pulang dari Myanmar tahun lalu.