8 cedera amuk tikam di kompleks komersial Korea Selatan

Lapan orang cedera pada Selasa selepas seorang suspek lelaki mengamuk dan melakukan serangan tikaman di dalam sebuah kompleks komersial yang menempatkan sebuah kedai diskaun di bandar pelabuhan Incheon, barat Korea Selatan, menurut berita Xinhua memetik agensi berita Yonhap.

Satu panggilan kecemasan diterima sekitar jam 1:49 petang waktu tempatan bagi melaporkan kejadian tikaman itu.

Suspek, yang dipercayai berusia dalam lingkungan 60-an, telah ditahan kerana didakwa menyerang dan melukakan pembeli serta pengunjung menggunakan senjata tajam.

Suspek didakwa memegang senjata sambil bergerak menaiki eskalator dari tingkat bawah tanah kedua—tempat kedai diskaun itu terletak—menuju ke tingkat dua, sebelum berjaya ditumpaskan oleh pengunjung lain di lokasi kejadian.

Menurut saksi, lelaki itu melakukan serangan dengan pisau yang diikat pada kedua-dua belah tangannya.