Lima peluru berpandu menyasarkan istana presiden yang menempatkan kerajaan Yaman disokong oleh gabungan pimpinan Arab Saudi di bandar pelabuhan selatan Aden pada Khamis, menurut berita Xinhua memetik seorang pegawai keselamatan tempatan yang memberitahunya.
Pegawai terbabit, yang enggan namanya didedahkan, dilapor berkata peluru berpandu itu menyasarkan Istana Al-Ma’ashiq di daerah Crater, Aden, sambil menuding jari kepada kumpulan Houthi sebagai pihak bertanggungjawab.
Menurutnya, maklumat mengenai korban atau cedera dan kerosakan masih belum diketahui.
Letupan kuat menggegarkan Aden, dengan kepulan asap kelihatan naik dari kawasan sekitar istana, lapor Xinhua memetik seorang wartawannya di lapangan.
Penduduk berhampiran mengatakan letupan itu menggegarkan rumah mereka.
Sementara itu, kumpulan Houthi pada Khamis mengulangi amaran kepada penerbangan antarabangsa bahawa ruang udara dan lapangan terbang Arab Saudi adalah “tidak selamat”, lapor Xinhua.
Dalam satu kenyataan di X, jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea, dilapor berkata amaran itu merangkumi ruang udara dan lapangan terbang Arab Saudi, kecuali ruang udara di atas kota suci umat Islam, Makkah dan Madinah.
Menurut Xinhua, terdahulu pada hari yang sama, Sarea dalam satu kenyataan berasingan berkata bahawa pihak Houthi tidak melancarkan sebarang serangan ke arah wilayah Arab Saudi pada hari itu, sekali gus menafikan dakwaan Arab Saudi bahawa satu serangan telah ditujukan ke arah Madinah.
