Berita

  • Pakatan diketuai Arab Saudi dakwa jatuhkan dron Houthi menuju ke Makkah, Houthi nafi

    Sistem pertahanan udara Arab Saudi memintas dan memusnahkan sebuah dron Houthi di selatan Makkah pada petang Selasa, sebelum ia sempat memasuki ruang udara terlarang di kota suci itu, kata pakatan diketuai Arab Saudi, menurut berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, jurucakap pakatan, Turki Al Maliki, berkata keselamatan Dua Masjid Suci dan jemaah merupakan “garis merah”, sambil menambah bahawa pakatan itu tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah sewajarnya bagi menghalang serangan lanjut Houthi.

    Seorang pegawai Houthi menolak dakwaan terbabit pada Rabu, lapor Xinhua.

    “Dakwaan mengenai menyasarkan Makkah hanyalah satu pembohongan lapuk yang pernah digunakan sebelum ini dan tidak lagi mampu memperdayakan sesiapa,” tulis Hazem al-Assad di X, menurut Xinhua.

  • Nahas helikopter di Los Angeles ragut tiga nyawa

    Sebuah helikopter terhempas di antara dua bangunan komersial di kawasan pinggir bandar Los Angeles pada malam Selasa, mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang, menurut pihak berkuasa tempatan, lapor berita Xinhua.

  • 3 dilapor maut dalam serangan Israel di Gaza

    Serangan udara Israel mengorbankan sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin di utara Jalur Gaza pada Selasa, termasuk seorang pesakit di pusat penjagaan kesihatan, menurut berita Reuters memetik petugas perubatan.

    Serangan udara Israel ke atas sebuah kenderaan mengorbankan sekurang-kurangnya dua rakyat Palestin, seorang daripadanya kanak-kanak, dan mencederakan tujuh yang lain di kawasan kejiranan Sheikh Radwan di utara Jalur Gaza, menurut petugas perubatan.

    Tentera Israel berkata ia telah menyerang seorang anggota militan di kawasan itu, tanpa memberikan perincian lanjut, lapor Reuters.

    Saksi dilapor berkata, sesetengah mangsa akibat serangan kedua dekat sekumpulan orang yang bergegas untuk membantu mangsa serangan awal.

    Menurut Reuters, dalam kejadian berasingan, badan amal kesihatan British, Medical Aid for Palestinians, berkata pada Selasa bahawa seorang pesakit terbunuh di pusat kesihatan yang disokongnya di Jabalia, utara Gaza.

    Pertubuhan itu dilapor berkata, pesakit terbabit ditembak oleh dron quadcopter tentera Israel.

  • Angka maut banjir kilat, gelongsoran lumpur di sempadan Nepal-China meningkat kepada 1,442

    Jumlah kematian akibat bencana banjir kilat dan gelongsoran lumpur dahsyat bulan lalu di sempadan Nepal-China melonjak kepada 1,442 orang selepas pasukan penyelamat menemui 14 mayat pada Selasa di Nepal, menurut berita Anadolu, seramai 5,698 orang masih hilang.

    Menurut Anadolu, Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal menyatakan 1,399 mayat telah ditemui di kawasan dilanda banjir, manakala 5,179 orang masih belum ditemui.

    Pihak berkuasa memaklumkan bahawa 13,742 orang telah diselamatkan, sementara 21,022 anggota keselamatan dikerahkan untuk operasi mencari, menyelamat dan bantuan.

    Antara mereka yang hilang di Nepal adalah 587 pelancong asing. Pihak berkuasa menyatakan bahawa jumlah orang hilang itu masih tertakluk kepada pengesahan dan mungkin merangkumi mayat belum dikenal pasti serta mereka yang sudah diselamatkan.

    Di pihak China, angka kematian kekal pada 43 orang, dengan 519 orang hilang, termasuk 261 warga asing di Tibet, wilayah yang ditetapkan oleh Beijing sebagai Wilayah Autonomi Xizang, menurut Anadolu.

    Bencana itu berlaku pada 26 Ogos apabila glasier di Gunung Langtang Lirung, Nepal, retak pada ketinggian 5,200 meter (17,060 kaki), lapor agensi berita itu.

    Keretakan itu dikatakan mencetuskan runtuhan ais dan batuan yang bertukar menjadi aliran serpihan besar dan melanda lembah di sepanjang sempadan.

  • Pakatan diketuai Arab Saudi dakwa serangan Houthi cederakan 13 orang awam

    Seramai 13 orang awam cedera dalam serangan Houthi terhadap sasaran awam di Arab Saudi, menurut kenyataan pakatan diketuai Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yaman diiktiraf di peringkat antarabangsa pada Selasa, lapor berita Xinhua.

    Kumpulan Houthi melancarkan serangan terhadap sasaran awam di bandar Khamis Mushait, Abha dan Taif di barat daya Arab Saudi pada Isnin menggunakan peluru berpandu balistik dan dron, kata jurucakap pakatan itu, Turki Al-Malki, menurut Xinhua.

    Serangan itu menyebabkan 13 orang awam mengalami kecederaan ringan hingga sederhana serta merosakkan tujuh buah rumah dan dua buah kenderaan, menurut Al-Malki dalam satu hantaran di X, lapor Xinhua.

    Perintah Angkatan Bersama pakatan itu akan bertindak balas terhadap serangan terbabit secara “bertanggungjawab dan tegas” bagi melindungi kedaulatan Arab Saudi, orang awam serta kemudahan awam, Al-Malki dilapor sebagai berkata, sambil menambah langkah operasi sewajarnya akan diambil untuk menghalang Houthi dan menangani apa yang dia sifatkan sebagai “pendekatan bermusuhan dan ekstremis” kumpulan itu.

    Serangan itu berlaku di tengah-tengah peningkatan ketegangan ketara antara Houthi dan Arab Saudi.

    Menurut Xinhua, pada Isnin, pihak Houthi mendakwa telah melancarkan berpuluh-puluh peluru berpandu balistik dan dron ke arah Pangkalan Udara King Khalid di Khamis Mushait, barat daya Arab Saudi, menyifatkan serangan itu sebagai tindak balas terhadap lebih 300 serangan udara Arab Saudi yang didakwa menyasarkan kawasan di bawah kawalan Houthi di Yaman sejak beberapa hari kebelakangan ini.

  • 3 warga Belanda dilapor maut dalam nahas pesawat di Jerman

    Tiga warga Belanda maut pada Isnin apabila sebuah pesawat ringan terhempas di barat Jerman, dekat sempadan Belanda, Kementerian Luar Belanda mengesahkan lewat Isnin, menurut berita Xinhua.

    Menurut Xinhua, kementerian itu memaklumkan kepada penyiar awam Belanda, NOS, bahawa mangsa terdiri daripada dua lelaki berusia 57 dan 58 tahun serta seorang wanita berusia 23 tahun.

    Pesawat itu berlepas dari padang terbang kecil di Hilversum, barat-tengah Belanda, pada kira-kira 10.25 pagi waktu tempatan (0825 GMT) sebelum hilang daripada radar dekat Gerderath—sebuah daerah di Erkelenz, negeri North Rhine-Westphalia, Jerman—pada kira-kira jam 11.18 pagi (0918 GMT) dan terhempas sejurus selepas itu, lapor Xinhua.

    Pesawat itu berdaftar dengan Sekolah Penerbangan Hilversum di Belanda.

    Pihak pengurusan sekolah mengumumkan penggantungan serta-merta semua operasi penerbangan sehingga punca nahas dikenal pasti.

  • 21 maut dalam kemalangan jalan raya di Western Cape, Afrika Selatan

    Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di wilayah Western Cape, Afrika Selatan, menurut berita Xinhua memetik media tempatan pada Isnin.

    Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 11:30 malam (2130 GMT) pada Ahad di lebuh raya N1 antara Prince Albert dan Leeu-Gamka di wilayah itu, membabitkan dua teksi bas mini dan sebuah kenderaan jenis ‘station wagon’, menurut Xinhua memetik laporan media.

  • Kenderaan berlanggar dengan pesawat penumpang di Lapangan Terbang Fukuoka, Jepun

    Sebuah kenderaan berlanggar dengan pesawat penumpang yang sedang diparkir di Lapangan Terbang Fukuoka di barat daya Jepun pada Isnin, namun tiada kecederaan dilaporkan setakat ini, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.

    Insiden itu berlaku sejurus selepas jam 10 pagi waktu tempatan apabila sebuah kenderaan yang dilengkapi tangga penumpang melanggar pesawat jet penumpang All Nippon Airways (ANA) yang diparkir di lapangan terbang itu.

    Menurut Xinhua, laporan itu disiarkan oleh penyiar awam NHK, memetik kenyataan daripada syarikat pengendali lapangan terbang dan pihak ANA.

    Kenderaan itu sedang cuba bergerak di bahagian belakang pesawat apabila ia berlanggar dengan pesawat terbabit dekat bahagian ekornya.

    Para penumpang sudah pun menaiki pesawat yang dijadualkan berlepas ke Lapangan Terbang New Chitose di Hokkaido itu, namun penerbangan itu dibatalkan akibat insiden berkenaan dan langkah telah diambil untuk memindahkan penumpang ke penerbangan lain, menurut Xinhua memetik laporan itu.

  • Penyelamat Indonesia cari 129 orang masih hilang selepas kapal penumpang terbalik

    Lebih 600 anggota penyelamat Indonesia sedang mencari 129 orang yang masih hilang selepas sebuah kapal penumpang terbalik di Laut Jawa pada hujung minggu, menurut seorang pegawai pada Isnin, dengan angka kematian kekal pada enam orang, lapor berita Reuters.

    Kapal Virgo Transport 8, yang membawa 243 orang, dilaporkan hilang ketika cuaca buruk pada awal pagi Ahad, menurut Reuters memetik agensi penyelamat.
    Pihak berkuasa telah menyelamatkan 108 orang daripada kapal terbabit, yang dalam perjalanan dari Surabaya di Jawa Timur ke Banjarmasin di Kalimantan Selatan.

    “Kami meneruskan usaha mencari mangsa yang hilang sejak awal pagi tadi. Kami mengerahkan 622 anggota dan kira-kira 12 buah kapal,” kata I Putu Sudayana, ketua agensi penyelamat Banjarmasin, menurut Reuters.

    Dia dilapor berkata bahawa tiada peningkatan dalam jumlah kematian seramai enam orang itu setakat pagi Isnin.

    Menurut Reuters, dalam satu video yang dikongsi oleh agensi penyelamat, kelihatan sebuah kapal besar berwarna merah dan hitam terbalik serta sebahagiannya tenggelam di perairan biru yang bergelora, dengan bahagian bawah kapal yang dicat merah kelihatan di atas permukaan air.

    Dua buah bot kecil, yang masing-masing membawa penumpang, dilihat terapung dekat kapal yang terbalik itu di tengah-tengah keadaan air yang bergelora.

    Pada Ahad, Edy Prakoso, seorang lagi pegawai di agensi penyelamat kebangsaan, dilapor berkata kapal itu senget dengan ketara ke satu sisi selepas dipukul ombak kuat pada bahagian kanan kapal (starboard).

    Sebuah helikopter yang sedang melintas melaporkan kapal itu terbalik, kata Menteri Pengangkutan Dudy Purwagandhi pada Ahad, dengan punca kejadian masih dalam siasatan, lapor Reuters.

    Indonesia bergantung pada perkhidmatan feri untuk menghubungkan 17,000 pulaunya, memandangkan perjalanan laut lebih murah dan mudah diakses berbanding perjalanan udara, namun banyak kemalangan berlaku.

  • 3 maut, 15 cedera tembakan menjelang pilihan raya parlimen wilayah autonomi Filipina

    Tiga orang terbunuh dan 15 lagi cedera dalam satu kejadian tembakan sebelum tengah malam Ahad di sebuah pusat mengundi di bandar Cotabato, wilayah Maguindanao del Norte di selatan Filipina, lapor berita Xinhua.

    Kejadian tembakan itu berlaku menjelang pilihan raya parlimen bagi Wilayah Autonomi Bangsamoro di Muslim Mindanao (BARMM), yang bermula pada Isnin untuk memilih parlimen pertama wilayah itu yang dipilih melalui pilihan raya.

    Xinhua melaporkan, menurut polis tempatan, kumpulan politik yang bersaing berebut kedudukan dalam barisan pengundi, yang mencetuskan insiden tolak-menolak, pergaduhan fizikal, dan akhirnya kejadian tembakan di kawasan yang sesak itu.

    Menurut Xinhua memetik laporan media tempatan, lebih 2 juta pengundi layak mengundi bagi merebut 80 kerusi parlimen yang dipertandingkan oleh 13 parti. Tahap keselamatan telah dipertingkatkan di seluruh BARMM sejak beberapa hari lalu, dengan lebih 20,000 anggota keselamatan dikerahkan ke pusat mengundi serta penubuhan pasukan tindak balas pantas bagi menangani sebarang kemungkinan keganasan.