Berita

  • Colombia lancar operasi mencari pesawat kecil hilang dengan 5 orang di dalam

    Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Colombia pada Ahad berkata ia melancarkan operasi mencari sebuah pesawat kecil yang dilaporkan hilang bersama lima orang di dalamnya, menurut berita Xinhua.

    Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Mandinga di Condoto, jabatan Choco di barat laut negara itu, dan dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Guaymaral di ibu negara, Bogota.

    Komunikasi terakhir dengan pesawat itu direkodkan pada jam 9:23 pagi waktu tempatan, menurut Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa itu.

  • Kira-kira 130 orang masih hilang apabila kapal penumpang karam di Indonesia

    Sebuah kapal penumpang yang terputus hubungan di Laut Jawa, Indonesia karam, menurut Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional negara itu pada Ahad, dengan kira-kira 130 orang masih belum ditemui, lapor berita Xinhua.

    Kira-kira 110 orang telah diselamatkan dan sekurang-kurangnya seorang maut, menurut Xinhua memetik angka terkini yang diperoleh.

    Menurut Xinhua, Konsulat Jeneral China di Surabaya mengesahkan kepadanya bahawa tiada warga China di atas kapal terbabit, berdasarkan maklumat yang disahkan dengan pihak berkuasa berkaitan daripada kerajaan bandar Surabaya.

    Xinhua melaporkan, menurut agensi mencari dan menyelamat, kapal penumpang Virgo Transport 8 membawa 243 orang apabila ia terputus hubungan sekitar jam 2 pagi waktu tempatan pada Ahad selepas menghadapi cuaca buruk.

    Kapal itu berlepas dari Surabaya di wilayah Jawa Timur pada Sabtu dan dalam perjalanan ke Banjarmasin di wilayah Kalimantan Selatan.

    Indonesia, sebuah negara kepulauan yang mempunyai kira-kira 17,000 pulau, sangat bergantung pada feri dan bentuk pengangkutan laut lain untuk menghubungkan pulau-pulau serta memudahkan perjalanan.

    Kemalangan maritim berlaku dari semasa ke semasa disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk keadaan cuaca, keadaan laut, dan aspek keselamatan kapal.

  • Houthi bebaskan 210 banduan selepas tawan bandar pelabuhan

    Kumpulan Houthi Yaman membebaskan 210 anggotanya yang ditahan oleh pasukan kerajaan selepas menawan sebuah penjara semasa kemaraan pantas mereka di pantai Laut Merah negara itu, menurut berita Xinhua memetik seorang pegawai tentera Houthi pada Ahad.

    Menurut Xinhua, pegawai itu, yang enggan namanya didedahkan, berkata pasukan Houthi menyerbu penjara kendalian kerajaan selepas menawan bandar pelabuhan strategik Laut Merah, Mocha, di wilayah barat daya Taiz pada Khamis.

    “Sebelum berundur, pasukan tentera upahan mengumpulkan semua 210 banduan di sebuah dewan besar dan mengurung mereka di dalamnya,” kata pegawai Houthi itu, merujuk kepada pasukan kerajaan.

    “Pejuang kami memecah masuk ke dalam premis itu dan membebaskan mereka.”

    TV al-Masirah dikendalikan oleh Houthi mengesahkan ketibaan 210 banduan itu di Sanaa pada Sabtu, lapor Xinhua.

    Pembebasan itu berlaku di tengah-tengah serangan besar-besaran Houthi yang dilancarkan pada 3 September di sepanjang pantai Laut Merah Yaman.
    Houthi telah menawan Mocha dan Pulau Mayun serta mara ke selatan menuju wilayah Lahj, sekali gus membawa pertempuran lebih dekat ke Aden, iaitu pusat pentadbiran kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

    Konflik Yaman tercetus pada hujung 2014 apabila Houthi menawan Sanaa dan sebahagian besar utara Yaman, yang mendorong pakatan diketuai Arab Saudi untuk campur tangan pada tahun berikutnya bagi menyokong kerajaan diiktiraf di peringkat antarabangsa itu.

  • 1 maut, 3 cedera kapal komersial Iran diserang di Selat Hormuz

    Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan tiga lagi cedera selepas sebuah kapal komersial Iran diserang dengan projektil di Selat Hormuz pada pagi Ahad, menurut berita Xinhua memetik laporan agensi berita negara Iran, IRIB.

    Kapal itu diserang di perairan dekat pulau Hengam dan Qeshm di selatan Iran pada jam 5 pagi waktu tempatan (0130 GMT), menurut IRIB memetik kenyataan gabenor daerah Qeshm, Hossein Amir Teymouri.

  • 2 maut bangunan runtuh di Sao Paulo, Brazil

    Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan dua lagi diselamatkan dalam keadaan hidup selepas sebuah bangunan 12 tingkat dalam pembinaan runtuh pada awal pagi Sabtu di Sao Paulo, tenggara Brazil, lapor berita Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan.

    Xinhua melaporkan, menurut maklumat awal daripada pihak bomba, kira-kira 11 anggota sebuah keluarga berketurunan Bolivia berada di dalam kediaman mereka di kawasan kejiranan Penha ketika kejadian runtuhan itu berlaku.

    Seorang wanita hamil adalah antara mereka yang terkorban, manakala seorang lelaki dan seorang kanak-kanak berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital.

    Sao Paulo, bandar terbesar di Brazil, telah diletakkan di bawah amaran cuaca susulan kejadian ribut selama seminggu.

  • 16 maut kebakaran rumah penjagaan di Chile

    Sekurang-kurangnya 16 orang terkorban selepas kebakaran berlaku pada petang Jumaat di sebuah rumah penjagaan di selatan Chile, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan pada Sabtu.

    “Kebakaran berlaku sekitar jam 10.30 malam (0130 GMT, 12 September); hanya 10 penghuni rumah penjagaan itu berjaya dipindahkan, dan kami amat dukacita dengan kematian 16 orang,” kata seorang pegawai polis.

  • 5 maut runtuhan tembok sekolah di Karachi, Pakistan

    Sekurang-kurangnya lima orang maut dan dua lagi cedera selepas tembok usang sebuah sekolah kerajaan runtuh di bandar pelabuhan Karachi, selatan Pakistan, menurut kenyataan pihak polis dan pegawai penyelamat pada Jumaat, berita Xinhua melaporkan.

    Insiden itu berlaku di kawasan Mominabad, Orangi Town, di mana tujuh orang terperangkap di bawah runtuhan selepas tembok terbabit tumbang, kata jurucakap Rescue 1122.

    Tiga orang meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia akibat kecederaan semasa dalam perjalanan ke hospital berhampiran, Xinhua memetik jurucakap itu.

    Menurut Xinhua, pihak polis mengatakan penagih dadah sering berkumpul dekat tembok terbabit dan didakwa cuba mengeluarkan batang besi daripadanya, tindakan yang mungkin melemahkan struktur tembok itu.

  • Houthi dilapor rampas Pulau Perim di Selat Bab el-Mandab

    Pejuang Houthi merampas Pulau Perim yang strategik di Selat Bab al-Mandab pada Jumaat, menurut berita Anadolu memetik sumber tentera kerajaan Yaman.

    Menurut Anadolu, sumber itu berkata Houthi telah mengambil alih pulau itu, yang dikenali dalam bahasa Arab sebagai Mayyun.

    Pengambilalihan itu bermakna kumpulan itu telah menyelesaikan kawalannya ke atas Selat Bab al-Mandab, tambah sumber itu.

    Pulau Perim mempunyai kepentingan strategik yang luar biasa kerana lokasinya di tengah-tengah Selat Bab al-Mandab, di mana ia membahagikan laluan air kepada dua saluran.

    Pengambilalihan itu berkemungkinan akan meningkatkan kebimbangan serantau dan antarabangsa mengenai keselamatan maritim dan pergerakan kapal komersial dan kapal tangki tenaga melalui Bab al-Mandab.

    Selat ini menghubungkan Laut Merah ke Teluk Aden dan merupakan satu daripada laluan terpenting di dunia untuk perdagangan antarabangsa dan penghantaran tenaga.

  • Angka maut banjir kilat Nepal-China meningkat kepada 1,428

    Jumlah kematian akibat banjir kilat dan gelongsoran lumpur dahsyat di sempadan Nepal-China meningkat kepada 1,428, sementara pencarian 5,649 orang berlanjutan lebih dari dua minggu setelah bencana melanda wilayah itu, lapor Anadolu.

    Anadolu memetik Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal, jumlah kematian yang disahkan di negara itu meningkat kepada 1,385, dengan 5,130 orang masih hilang.

    Di pihak China, jumlah kematian kekal pada 43, dengan 519 orang hilang di Wilayah Autonomi Xizang barat daya, juga dikenali sebagai Tibet.

    Antara yang hilang, 848 adalah warga asing, membabit 587 di Nepal dan 261 di Tibet.

    Bencana itu melanda pada 26 Ogos apabila glasier di Gunung Langtang Lirung Nepal retak pada ketinggian kira-kira 5,200 meter (17,060 kaki), lapor Anadolu, rekahan itu mencetuskan runtuhan ais batu yang berkembang menjadi aliran serpihan besar dan melanda lembah di sempadan.

    Air banjir dan gelongsoran lumpur memusnahkan daerah Rasuwa, Nuwakot, Dhading dan Kavre di Nepal, serta Lembah Kathmandu, menurut Anadolu, bencana itu turut menimbus lintasan sempadan Gyirong di Xizang.

  • 5 maut, 40 cedera nahas koc di Switzerland

    Lima orang terbunuh dan 40 lagi cedera selepas sebuah koc Belanda mengalami nahas di kanton Graubunden di timur Switzerland, kata polis pada Jumaat, menurut berita Xinhua.

    Kenderaan itu dalam perjalanan dari Zernez ke Susch pada petang Khamis apabila ia terbabas dari jalan di zon pembinaan dan terbalik, polis dilapor sebagai berkata dalam satu kenyataan.

    “Daripada 45 orang dewasa di atasnya, lima terbunuh. Tiga orang mengalami kecederaan parah, tujuh cedera sederhana dan 30 cedera ringan,” polis dilapor berkata.